.

.

Sabtu, 4 Februari 2012

MARHABAN YA SAYYID AL-THAQALAYN

SALAM MAWLIDURRASUL

Semoga ulangtahun keputeraan Junjungan Mulia dan keputerian nahdiyah adik bongsu zinnira dan lubaynah minggu lalu diberkati rahmatNya dan semua yang membaca kalam pembuka tahun 2012 ini agar mendapat syafaat darinya.

Tiada kata secantik bahasanya
Melantun hikmah tanpa hawanya

Tiada rupa secantik wajahnya
Laksana bulan memancar sinarnya

Tiada panggilan seindah namanya
Segenap ufuk menyeru mengingatinya,

Tiada kerinduan seteguh ingatannya,
Hanya syafaat dipinta darinya.


Dari XL+N

Rabu, 27 Julai 2011

Kritikan kepada Kitab Abu Rayyah

Berikut merupakan bingkisan lama dari simpanan digital pemosting (pe+posting) yang merupakan keterangan al-Ustaz Muhammad bin Muhammad Abu Shahbah mengenai padangan al-Ustaz Abu Rayyah yang dianggap tidak tepat dalam hal-hal berkaitan ilmu Hadith sekitar tahun 40-an dahulu. Semoga entry ini dapat dimanfaatkan oleh pembaca...

Pada bulan Ramadhan tahun 1364H (Ogos, 1945M), al-Ustaz Mahmud Abu Rayyah telah menyiarkan sebuah maqalah di dalam majalah al-Risalah bilangan 633 di bawah tajuk “al-Hadith al-Muhammadi”, yang menghimpunkan pandangan-pandangannya dalam beberapa perbahasan Hadith. Beliau mengatakan bahawa maqalah tersebut adalah sebagai rumusan kepada buku yang akan beliau terbitkan. Apabila saya telah membacanya, saya dapati terdapat padanya beberapa penyimpangan daripada kebenaran pada sebahagian perkara yang beliau telah tuliskan. Maka saya telah mengambil pena dan menulis sanggahan yang telah dihantar kepada majalah al-Risalah dan disiarkan dalam bilangan 642. dan saya menyebutkan di akhir sanggahan saya: “Memandangkan maqalah tersebut merupakan rumusan kepada buku yang akan diterbitkan, maka saya menyeru agar al-Ustaz merujuk kembali dirinya dalam sebahagian hakikat yang disingkapkan kepadanya, ini kerana ilmu Hadith memerlukan penelitian dan usaha yang gigih dan berhati-hati”. Namun, beliau kemudiannya telah membalas kembali sanggahan saya di dalam al-Risalah bilangan 654.

Dan pada tahun 1377H/1958M, al-Ustaz Abu Rayyah telah menerbitkan sebuah buku berjudul Adwa’ ‘ala al-Sunnah al-Muhammadiyyah. Maka, saya membaca buku tersebut dengan penuh pengkajian dan penelitian dan mendapati beliau tidak mengubah pemikiran dan pandangannya yang lalu kecuali sedikit sahaja.maka, saya berazam untuk membidas kitab tersebut lebih-lebih lagi kerana pengarangnya bukanlah seorang yang pakar dan arif berkaitan pengajian Hadith dan diperkuatkan lagi dengan sokongan pembaca terhadap kritikan saya yang lalu.

Saya berhasrat untuk menyiarkannya di dalam majalah al-Azhar iaitu al-Zahra’. Manakah antara majalah yang lebih benar seumpama pengkajian yang dikeluarkan majalah al-Azhar? Ia merupakan lidah al-Azhar dan pemikul panji Islam yang menjadi naungan kepada seluruh umat Islam di dunia.

Di sini saya akan huraikan secara terperinci kritikan yang saya kemukakan terhadap kitab tersebut:

Penulis telah membuat dakwaan-dakwaan yang tidak berasaskan dalil dan bukti yang jelas. Antaranya seperti di muka surat 5, beliau mendakwa: “Bahawa ulama Hadith telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu Hadith dari segi perawi-perawinya, pada ketika mereka mengabaikan perkara yang wajib diketahui sebelum melihat kepada ilmu ini dan mempelajari kitab-kitabnya, iaitu pengkajian mengenai kebenaran nas yang sahih yang diungkapkan oleh Nabi S.A.W., dan adakah Baginda memerintahkan agar para sahabat menulis nas berkenaan dengan lafaz darinya atau melarang dari menulisnya? Adakah para sahabat menulis Hadith tersebut atau meninggalkannya? Adakah apa yang diriwayatkan sama dengan apa yang diucapkan oleh nabi S.A.W. atau bercanggah?”

Allah dan juga mereka yang arif dalam ilmu mengetahui bahawa apa yang beliau dakwakan itu tidak benar dan para ahli Hadith sememangnya telah berusaha lebih dari apa yang beliau ketahui.

Juga apa yang disebutkannya di dalam muka surat 7: “Beliau mendakwa bahawa beliau hampir-hampir tidak menemui di dalam semua kitab-kitab Hadith –sesuatupun hadith yang dikatakan sebagai sahih atau hasan- sebagai yang datang dalam hakikat lafaznya dan struktur ayatnya.”

Begitu juga kata-katanya di dalam muka surat 13: “Bilamana pengkajian ini tidak diambil berat oleh seseorang pun sebelum ini, maka saya melihat perlunya saya untuk menyusun sebuah kitab yang dapat menjadi panduan dalam ilmu Hadith”.

Penulis dalam memberikan hujah, cenderung untuk berpegang kepada sebahagian pendapat orientalis sepertimana di dalam muka surat 81, 171, dan 172. Bagaimana penulis boleh tidak mengetahui bahawa hanya berapa orang sahaja di kalangan orientalis yang benar-benar mengakaji Islam atas dasar ilmu dan dengan kesungguhan dan penelitian untuk Islam dan umat Islam.

Suatu yang pelik bahawa penulis secara langsung telah mengemukakan dalil dengan hadith-hadith yang mawdu’ untuk menguatkan hujah dan pendapatnya. Contohnya seperti di dalam muka surat 29, bahawa Umar memenjarakan Ibnu Mas’ud, Abu Musa, dan Abu al-Darda’ kerana mereka banyak mengumpul Hadith. Sudah nyata bahawa kata-kata ini adalah satu pendustaan sebagaimana kata Ibn Hazm bahawa perawinya adalah seorang yang tidak amanah dalam ilmu.

Penulis, di dalam muka surat 252, turut cuba meragukan kewibawaan Hadith-Hadith yang sahih yang telah thabit seperti hadith yang bermaksud: “Ingatlah sesungguhnya aku telah didatangkan dengan al-Kitab dan yang seumpamanya dengannya.”

Beliau turut mendakwa di dalam muka suart 129, bahawa Hadith yang bermaksud: “Jangan mengembara kecuali ke tiga buah masjid.” adalah daripada Israiliyyat. Sedangkan Hadith ini sememangnya disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim dan sekalian ulama muslimin.

Bahkan yang lebih teruknya, beliau mendakwa di dalam muka surat 114, bahawa Hadith Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya iaitu : “Bahawa Allah bersifat di dalam Taurat dengan sebahagian sifatnya di dalam al-Quran.” Adalah khurafat daripada Ka’b al-Ahbar yang menurunkannya kepada muridnya Abdullah bin ‘Amru.

Penulis turut terpengaruh dengan pandangan orientalis ketika mana membicarakan mengenai ketaksuban mazhab dan politik dalam fasal “al-Wad’u” (perekaan Hadith palsu). Maka beliau menghukumkan pada setiap apa yang dianggapnya sebagai pendapat Sahabat atau fikiran mereka sebagai mawdu’. Hal ini sememangnya tidak diredhai oleh para penyusun Hadith yang thabit dan juga tidak menurut kaedah perbahasan yang telus. Beliau juga melemahkan banyak daripada Hadith Sahih dalam perkara fadha’il (keutamaan amalan). Beliau menganggap kesemua yang bersifat fadha’il, pendapat dan fikiran sebagai mawdu’.

Penulis telah melakukan apa yang tidak diredhai oleh para penyusun Hadith dengan melemparkan tuduhan palsu kepada seorang sahabat dari Sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Sayyiduna Abu Hurayrah R.A. Bukanlah kami mendakwa akan kemaksumannya, akan tetapi kami mahu supaya diletakkan kedudukan para Sahabat selaras dengan kelebihan dan keilmuan mereka. Para pengkritik hendaklah mengkritik dengan mengikut kaedah dan tatacara yang benar. Kami berharap agar pengkritik mempelajari adab-adab mengkritik, memperelokkan bicara, mengungkapkan perkataan yang mulia sebagaimana yang layak bagi kedudukan ulama. Sesungguhnya salaf al-soleh berselisih dan berdebat sesama mereka, tetapi mereka tetap mengutamakan kesopanan dan kesantunan dalam berbicara tanpa mengeluarkan kata-kata yang kesat.

Saya tidak tahu, bagaimana penulis boleh menulis dengan penanya, dengan melampaui adabnya, beliau melemparkan segala kata-kata tuduhan kecacatan kepada Abu Hurayrah terhadap kata-kata yang diucapkannya untuk tahadduth (menyebarkan kegembiraan) dengan nikmat Allah (kerana bersyukur). Penulis menyatakan di dalam muka surat 187: “Sesungguhnya beliau yakni Abu Hurayrah telah menyembunyikan keburukannya dan telah keluar dari batasan adab dan kesopanan! Beliau telah berkata dengan isterinya setelah berkahwin sejurus selepas bersama dengannya: “Sesungguhnya aku telah mengambil upah daripada Basrah binti Ghazwan untuk memberiku makan, maka ketika mereka menunggang, aku memberi minum kepada mereka, apabila mereka turun (dari tunggangan) maka aku berkhidmat kepada mereka. Dan kini aku telah mengahwininya, maka aku kini menunggang, dan apabila aku turun maka dia berkhidmat kepadaku…”

Penulis dengan sewenangnya mengatakan: “Lihatlah kata-kata ini yang menyingkapkan maruah dan kemuliaan, dan penuh dengan kekejian dan kehinaan. Adakah seorang lelaki yang mulia yang berketurunan mulia melakukan perbuatan sedemikian”.

Bukanlah saya ingin mempertikaikan aqidah dan mazhab penulis, kemuliaan keturunannya atau tidak, juga maruahnya atau tidak, dan sebagainya, sepertimana yang beliau lemparkan kepada Sayyiduna Abu Hurayrah. Saya ingin menegaskan bahawa perbuatan mencela yang sedemikian merupakan eset bagi orang yang lemah yang tidak dapat diterima akal yang waras dan hujah yang bernas.



Rujukan
Abu Shahbah, Muhammad bin Muhammad. 1989. Difa' 'an al-sunnah. Qahirah: Maktabah al-Sunnah.

Jumaat, 15 Julai 2011

Kebangkitan China

Orientasi dasar luar China berubah selepas tahun 1978 apabila tokoh Komunis yang konservatif Mao Tse-Tung dan Chou En-Lai meninggal dunia pada tahun 1976. pucuk pimpinan China kemudiannya diambil alih oleh pemimpin-pemimpin baru yang lebih liberal seperti Deng Xiao-Peng (1978-1997) dan kemudiannya Jiang Zimen mulai tahun 1997.[1]

Mulai akhir tahun 1970-an, berlaku peningkatan dalam ekonomi ekoran dasar pasaran terbuka yang dilakukan oleh China. Penyerapan teknologi dari luar telah berkembang dengan rancak dan syarikat-syarikat asing mula membuat pelaburan secara besar-besaran. Perkembangan ini menjadi bertambah pesat mulai awal tahun 1980-an.[2]

Sejak negara China mengadakan dasar ekonomi terbukanya sejak 1978, kedudukannya telah meningkat dan menduduki tangga ke-6 dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia atau WTO[3] pada 2001.

Dasar pintu terbuka yang dilaksanakan sejak 1979 dan perubahan ekonomi pada era Deng telah menjadikan China negara paling dinamik di dunia. China yang semakin makmur dan kuat telah dicemburui oleh negara-negara maju. Amerika telah mengeluarkan doktin ‘Ancaman China’, hasil kajian Pentagon yang menyimpulkan bahawa ancaman Beijing terhadap Amerika, Jepun dan ASEAN. Tujuan tersiratnya ialah supaya negara-negara Asia menjauhkan diri dari Beijing dan terus bergantung kepada Washington di samping menghalang China daripada menjadi kuasa pengimbang di Asia serta mewujudkan konfrontasi langsung antara Beijing dan Washington.[4]

Dasar perindustrian yang dilaksanakan olehj Jiang Zemin telah memperhebatkan persaingan China dengan ASEAN dan Jepun. Saingan ini turut memberi kesan positif dengan negara-negara ASEAN mengambil langkah mengukuhkan industri masing-masing khususnya dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti MSC di Malaysia.[5]

Dengan penduduk membentuk satu perlima daripada jumlah penduduk dunia, tidak dapat disangkal akan kepentingan China sebagai pasaran tunggal yang besar dan berpotensi untuk barangan dan perkhidmatan. Amerika dan negara-negara Barat inginkan China supaya berkonflik dengan negara-negara jurannya. Jika negara-negara Asia berjaya menghindari hasutan ini, maka impian abad Asia akan menjadi kenyataan dan peranan China dapat didefinisikan mengikut kacamata Asia dan bukannya Barat.



[1] Mohd. Noor Yazid, Politik antarabangsa Asia Pasifik, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2000, hlm. 66.

[2] ibid.

[3] WTO atau World Trade Organisation adalah merupakan sebuah badan khas yang ditubuhkan oleh PBB untuk mengawal perdagangan antarabangsa.

[4] Mohd Rashid Darham, Kebangkitan ekonomi China: impian ke arah abad Asia, Dewan Masyarakat, November 1997, hlm. 58.

[5] ibid.

Isnin, 4 Julai 2011

FALSAFAH AKHLAK PLATO

Plato (428-348 S.M.) merupakan ahli falsafah Greek yang mewakili titik tolak falsafah politik Barat di samping etika dan pemikiran metafizik. Plato dilahirkan dalam keluarga yang terkenal pada tahun 427SM. Semasa mudanya beliau telah mendalami falsafah Socrates yang kemudiannya menjadi mentor dan kawannya. Pada tahun 399SM, Socrates telah dibicarakan atas tuduhan menentang kerajaan dan mengajar ajaran salah. Beliau telah dijatuhkan hukuman bunuh dengan memakan racun hemlock. Pembunuhan Socrates ini menimbulkan rasa tidak puas hati Plato yang berpanjangan terhadap kerajaan demokrasi.[1]

Tidak lama kemudian, Plato meninggalkan Athens dan menghabiskan masa mengembara ke negara asing. Pada 387SM, beliau kembali ke Athens dan mengasaskan Akademi di sana yang telah beroperasi sehingga 900 tahun. Plato menulis lebih kurang 36 buah buku, kebanyakannya mengenai politik, etika, dan juga sebahagiannya mengenai metafizik dan teologi.[2]

Plato mengembangkan idea-idea Socrates dengan lebih lengkap dan mengukuhkannya dengan konsep moraliti yang idealistik. Beliau membahaskan secara lebih mendalam kepada intipati moraliti walaupun cara pemikirannya lebih berbentuk metafizik. Pandangan Plato boleh diformulasikan dengan bahawasanya prinsip-prinsip kebaikan dan keadilan terkandung di dalam tabii (nature) itu sendiri. Terdapat banyak kejahatan dan ketidakadilan di dalam kehidupan. Akan tetapi, kesemuanya pada hakikatnya bersandarkan kepada asas-asas kebaikan. Inilah elemen baik dan adil yang cuba disingkap oleh Plato dan yang menjadi prinsip dalam memandu kehidupan manusia.[3]

Falsafah etika dan epistemologi Plato sangat berhubung kait. Hubungan antara kedua-duanya adalah jelas dalam pandangan beliau bahawa kejahatan itu berlaku kerana kurangnya ilmu pengetahuan. Bagi Plato, budi itu merupakan pengetahuan. Jika seseorang manusia mengetahui apakah tabii kehidupan yang baik, maka dia akan bersikap dan melakukan berdasarkan apa yang diketahuinya. Bilamana seseorang itu mengetahui mana yang baik, dia akan membuat perkara yang baik. Dengan melakukan kejahatan pula akan membuktikan kejahilannya.[4]

Plato merumuskan kesimpulan sebegini berdasarkan kepada teori form (bentuk) atau idea yang digagaskannya. Plato amat menitikberatkan tabii hakikat unggul (ultimate reality) dan kemampuan untuk mencapai pengetahuan sejagat. Pengetahuan sejagat merujuk kepada pengetahuan yang melibatkan semua manusia, dalam semua tempat dan pada setiap masa. Ini secara khususnya berkait dengan pengetahuan moral. Bagi Plato, nilai-nilai moral mempunyai hakikat yang objektif dan kedudukan yang mutlak. Asas utama yang perlu kita fahami ialah kenapa Plato berfikir bahawa pengetahuan itu mesti menjadi suatu form (bentuk) dan apakah yang dimaksudkannya dengan form itu.[5]

Pengetahuan dan kepercayaan sangat dikagumi oleh Plato sebagaimana yang tercatat di dalam bukunya the Republic (475-480SM). Menurut Plato, pengetahuan merupakan suatu yang tidak mungkin silap, manakala kepercayaan adalah suatu yang berkemungkinan silap. Plato menambah bahawa kemungkinan sesuatu kepercayaan itu silap adalah berdasarkan objek atau perkara yang dipercayai. Objek pengetahuan pula mestilah suatu kewujudan yang hakiki. Sesuatu yang tidak wujud pula merupakan objek kepada kejahilan.[6]

Yang dimaksudkan oleh Plato dengan wujud itu bukanlah sesuatu juzuk daripada kualiti, tetapi kualiti itu sendiri. Sebagai contoh, sesuatu yang berwarna merah itu merangkumi peti surat, epal, darah dan sebagainya yang berwarna merah. Inilah yang Plato panggil sebagai form atau idea. Form inilah yang mendasari kewujudan sejati (pure existence) atau hakikat unggul (ultimate reality). Oleh yang demikian, form kualiti moral seharusnya bersifat objektif dan mutlak.[7]

Plato menganggap form sebagai satu-satunya objek-objek pengetahuan yang sah. Form mempunyai beberapa ciri utama iaitu mudah, tidak dapat dihasilkan, tidak dapat dimusnahkan, tidak dapat diubah, bersifat abadi, wujud yang tersendiri, dan tidak mempunyai ruang tempat. Sebagai contoh, form atau idea tentang kecantikan dan keadilan adalah tidak berubah dan kekal selama-lamanya. Hakikat kecantikan dan keadilan itu sentiasa tetap dan bersifat mutlak. Plato menegaskan bahawa form kebaikan adalah merupakan sumber unggul terhadap nilai-nilai etika yang lain. Nilai mutlak inilah menjadi asas kepada nilai-nilai yang lain seperti kebenaran dan keadilan. [8]

Secara umumnya dapat disimpulkan bahawa teori etika Plato adalah berpaksikan kepada kewujudan nilai-nilai mutlak yang dipanggil forms atau idea. Menurut Plato, kesemua form yang wujud adalah terhasil daripada form kebaikan.

Plato turut menghubungkan etika dengan asas teori epistemologi atau teori ilmu pengetahuan. Plato menganggap dunia idea atau form sebagai suatu yang hakiki atau realiti. Walaupun dunia fizikal atau alam nyata ini dapat digarap dengan indera, ia tidak dapat mencapai kewujudan atau hakikat yang sempurna.

Plato merumuskan bahawa budi itu adalah ilmu pengetahuan. Jika seseorang manusia melakukan suatu kesalahan, maka ini adalah disebabkan kejahilannya terhadap pengetahuan tentang perkara yang baik dan perkara yang buruk. Seseorang yang berilmu pengetahuan mesti sentiasa melakukan apa yang baik dan betul.



[1] Hart, The 100: a ranking of the most influential persons in history, Terj., Golden Book Centre Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 2005, hlm. 203.

[2] ibid., hlm. 203-204.

[3] Prince Kropotkin, Ethics: origin and development. Terj. Louis S. Friedland & Joseph R. Piroshnikoff, hlm. 90-91.

[4] Calvin Pinchin, Issues in Philosphy, Macmillan Education Ltd, London, 1970, hlm. 206.

[5] ibid., hlm. 207.

[6] ibid.

[7] ibid., hlm. 207-208.

[8] ibid., hlm. 208-211.

Pemikiran Falsafah Etika Barat dalam Era Yunani

Orang-orang Greek kuno sebagaimana masyarakat primitif yang lain, telah menggambarkan alam cakerawala yang meliputi planet-planet dan bintang-bintang serta fenomena-fenomena alam seperti hujan, kilat, banjir, taufan dan sebagainya sebagai suatu makhluk yang berkuasa yang mempunyai rupa bentuk seperti manusia. Ini dapat kita lihat pada tugu-tugu dan patung yang dibina oleh mereka yang menggambarkan dewa-dewa langit, laut dan bumi sebagaimana menurut kepercayaan mereka.[1]

Menurut masyarakat Greek, setiap kesalahan moral yang dilakukan oleh manusia akan dihukum oleh dewa-dewa (gods) bencana alam seperti taufan, kilat dan sebagainya. Namun, konsep moral dan kepercayaan ini akhirnya mengalami perubahan bilamana para pemikir Greek mula berfikir bahawa konsep asas moral manusia adalah tidak hanya semata-mata takut kepada dewa-dewa, bahkan juga memahami tabii (nature) manusia itu sendiri, dengan penuh rasa hormat dan memandang tinggi akan maruah di samping memerlukan pemahaman terhadap intelektual yang lebih tinggi dan juga terhadap matlamat-matlamat moral.[2]

Para pemikir pada ketika itu terbahagi kepada beberapa sekolah atau aliran. Sebahagian aliran cuba untuk menjelaskan keseluruhan tabii dan kesinambungan elemen moral dalam diri manusia dalam bentuk yang naturalistik atau semulajadi melalui pengkajian terhadap tabii serta melalui eksperimen atau ujikaji. Sebahagian yang lain pula cuba mengekalkan keaslian alam semesta dan kehidupannya yang tidak dapat dijelaskan dengan cara yang naturalistik kerana dunia nyata ini merupakan ciptaan suatu kuasa yang Maha Besar (supernatural powers).[3]

Lebih daripada empat kurun, falsafah dan penentuan moral berada pada tangan golongan Sofis (Sophist), dan kemudiannya muncul Socrates dan Plato pada kurun ke-5 S.M., Aristotle pada kurun ke-4 S.M., dan Epicurus pada kurun ke-3 S.M. yang telah meletakkan asas-asas falsafah etika atau sains moral yang masih dianggap penting sehingga ke hari ini.[4]


[1] Kropotkin, Ethics: origin and development. Terj. Louis S. Friedland & Joseph R. Piroshnikoff, Benjamin Bloom Inc., Bronx, New York, 1968, hlm. 86.

[2] ibid.

[3] ibid.

[4] ibid., hlm. 88.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP