.

.

Sabtu, 11 Julai 2009

BEBERAPA LANGKAH DALAM MENINGKATKAN PRODUKTIVITI DAN KUALITI PERTANIAN

Yusri bin Mohamad Ramli

Bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil pertanian samada peringkat petani, pengusaha ladang, mahupun badan korporat dan kerajaan, beberapa langkah wajar diambil perhatian untuk dilaksanakan. Pertamanya ialah menggiatkan pertanian secara kontan dan komersil untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dengan mengurangkan import dan menambahkan eksport. Para petani dengan bantuan kerajaan perlu mengusahakan tanaman yang mempunyai potensi komersil seperti produk semulajadi khusus, keluaran hutan bukan balak, keluaran bioteknologi, florikultur, dan sebagainya.

Antara masalah yang dihadapi oleh sektor pertanian ialah saiz ladang yang berskala kecil dan tidak ekonomik yang meninggikan kos dan mengurangkan produktiviti. Kajian yang dijalankan mendapati 65% pesawah padi mengusahakan sawah yang bersaiz kurang dari satu hektar. Bagi mengatasi masalah ini, program-program untuk memperolehi faedah berskala perlu dijalankan. Contohnya seperti projek kelompok, pemuliharaan tanah terbiar secara estet, dan taman kekal pengeluaran makanan.

Langkah kedua ialah menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pengeluaran makanan secara komersil. Jika diperhatikan, pelaburan syarikat-syarikat swasta dalam sektor pertanian adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan pelaburan di dalam sektor pembuatan dan perladangan. Ini adalah kerana masih wujudnya persepsi bahawa sektor pertanian mundur dan memberi pulangan yang kurang berbanding sektor lain.

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan MIDA telah pun menyediakan insentif istimewa dan potongan cukai bagi projek pertanian, pengeluaran makanan, dan lain-lain industri asas tani seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Penggalakkan Pelaburan 1986 dan Akta Cukai Pendapatan 1967. Di bawah insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusaha atau melabur dalam projek pengeluaran makanan layak mendapatkan insentif khas seperti taraf perintis, elaun cukai pelaburan, insentif penyelidikan, insentif eksport, dan sebagainya. Walaupun insentif yang diberikan kepada sektor pertanian sangat banyak dan menarik, namun peratusan pelaburan yang diharapkan masih tidak memuaskan.

Langkah ketiga yang perlu dilaksanakan ialah pemindahan dan penggunaan teknologi moden. Kebergantungan sepenuhnya kepada tenaga buruh dalam sektor pertanian perlu dikurangkan dengan melaksanakan transformasi tenaga buruh kepada penggunaan mekanisasi, otomasi, dan teknologi moden.

Antara usaha yang perlu digiatkan termasuklah program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian, dan sistem ternakan secara tertutup (closed house system). Di dalam pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi perlu dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus, open sea cage culture, dan sebagainya. Bagi mempercepatkan modenisasi bidang pertanian ini, kita perlu menjalinkan kerjasama serta mendapatkan khidmat bantuan dan kepakaran dari negara-negara luar.

Langkah yang keempat ialah menggiatkan penyelidikan dan pembangunan bagi mewujudkan sumber pertumbuhan baru dengan mengguna dan memulihara sumber semulajadi secara lestari di samping meningkatkan produktiviti ke tahap yang maksima.
Kita banyak bergantung kepada teknologi dan input luar. Sebanyak 95% daripada benih tanaman sayuran dan 40% daripada benih tanaman buah-buahan adalah diimport dari China, Australia, dan Taiwan. Justeru, kita perlu meningkatkan usaha penyelidikan bagi mencari sumber-sumber benih alternatif dan menambahkan produktiviti serta keberkesanan kos pengeluaran pertanian di samping menghasilkan produk-produk baru yang inovatif. Kajian juga harus dijalankan bagi menghasilkan rantaian nilai tambah yang lain seperti pemprosesan makanan dan cara-cara pembungkusan di samping langkah-langkah susulan dalam mengkomersialkan penemuan-penemuan kajian dari makmal kepada pasaran.

Langkah kelima pula ialah pengurusan pertanian yang efisyen. Ini meliputi penggunaan tanah secara intensif melalui pelaksanaan lebih meluas campuran tanaman, mengintegrasi pengeluaran makanan dengan tanaman ladang, menggunakan sumber semulajadi secara mampan dan mesra alam, serta menggalakkan rantaian dengan aktiviti lain seperti industri pembuatan. Sebagai contoh, kita boleh mengorientasikan semula getah sebagai tanaman strategik yang membekalkan balak untuk industri berasaskan kayu serta lateks bagi industri berasaskan getah. Ini dapat meningkatkan produktiviti secara maksima dengan kos yang minima.

Langkah yang keenam ialah memberikan bimbingan dan latihan kepada para petani. Pendekatan yang terbaik ialah memfokuskan kepada teknik pengurusan tanaman yang bersifat mesra alam dan kurang menggunakan racun merbahaya bagi meningkatkan mutu dan keselamatan produk pertanian. Justeru, kita perlu menggalakkan petani supaya mengamalkan teknik natural farming dengan sistem rawatan tanah, penggunaan baja dan racun perosak yang selamat digunakan. Program latihan dan kemudahan mesti dipertingkatkan bagi memastikan peladang dibekalkan dengan kemahiran teknikal. Untuk mencapai tujuan ini, inkubator-inkubator bagi memberikan latihan hendaklah dibina di seluruh kawasan pertanian.

Langkah ketujuh ialah menjalankan pertanian secara sektoral melalui pengezonan kawasan pengeluaran pertanian. Ini bertujuan bagi membangunkan pertanian secara kelompok dan mendapatkan faedah perbandingan. Zon-zon pengeluaran ini termasuklah zon industri akuakultur, zon tanaman, zon ternakan, dan kawasan integrasi. Penwujudan zon-zon ini akan membolehkan para pengusaha meningkatkan produktiviti mereka dan memudahkan Kerajaan menumpukan khidmat sokongan mengikut jenis pertanian yang dilaksanakan sesebuah kawasan.

Langkah kelapan ialah memperlengkapkan kemudahan infrastruktur dan pemasaran hasil pertanian. Kemudahan-kemudahan seperti saliran dan pengairan serta jalan ladang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Kemudahan pemasaran seperti pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian juga perlu disediakan untuk melancarkan pemasaran serta mengelakkan masalah lambakan.

Langkah kesembilan ialah pemantauan bersepadu terhadap kualiti hasil pertanian. Kerajaan perlu memastikan bekalan makanan yang dihasilkan mencukupi, berkualiti, selamat dimakan, berkhasiat, dan dijual dengan harga yang berpatutan. Kualiti produk yang rendah dan tidak seragam menyebabkan hasil pertanian negara tidak dapat bersaing di pasaran global.
Di peringkat pasaran global, isu mengenai keluaran pertanian yang berkualiti dan selamat untuk dimakan kini menjadi satu keperluan penting. Piawaian-piawaian yang ditetapkan oleh CODEX Alimentarius Commission, Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan Euro Retailer Working Group Good Agriculture Practice (EUREPGAP) perlu diamalkan bagi menjamin kemasukan produk kepada negara pengimport.

Kesimpulannya, usaha mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi lebih moden, dinamik, dan berdayasaing mesti diteruskan. Ini penting memandangkan pasaran global akan mengalami liberalisasi perlagangan akibat pelaksanaan AFTA dan rundingan WTO. Hasil pengeluaran pertanian perlu mempunyai kecekapan kos dan berkualiti supaya dapat bersaing dengan keluaran daripada negara-negara pengeluar yang lain. Sektor pertanian yang lebih moden, dinamik dan berdayasaing akan menjamin petani, penternak, dan nelayan mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi dan stabil.

*Adaptasi dari artikel Amalan Pertanian Baik: beberapa langkah dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti sempena Pertandingan Menulis Esei Amalan Pertanian Baik, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (2006).

Tiada ulasan:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP