.

.

Sabtu, 11 Julai 2009

MEMPERTINGKAT PERANAN INSTITUSI ZAKAT

Yusri bin Mohamad Ramli

1. PENDAHULUAN
Zakat adalah sebahagian daripada rukun Islam yang lima dan merupakan suatu ibadah dan tanda kesyukuran kita kepada Allah. Firman Allah Taala [1] yang bermaksud:

Ambillah sebahagian dari harta mereka sebagai sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Secara umumnya, zakat merupakan kadar kutipan yang diwajibkan ke atas harta dan hasil pendapatan di peringkat paling minima mengikut peraturan dan syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu yang bertujuan untuk menjamin biaya sosial masyarakat pada peringkat asas dan mengurangkan jurang pendapatan yang tidak seimbang sehingga mencapai satu tingkat hidup yang lebih baik di atas paras nisab.[2]

Zakat paling besar peranannya dalam aspek ekonomi iaitu menyelesaikan masalah kemiskinan. Firman Allah Taala[3] yang bermaksud:

Dan pada harta kekayaan mereka terdapat hak yang termaklum untuk peminta dan orang yang tersekat rezeki dan mata pencariannya.

Ibadat zakat dapat menyelesaikan masalah ekonomi dengan cara yang sederhana dan praktikal dengan membuat perimbangan antara golongan yang mampu dan golongan yang tidak mampu. Golongan kaya dapat terus menikmati kekayaannya dengan syarat sebahagian daripada kekayaannya itu dialirkan kepada golongan miskin sebagai suatu hak yang ditetapkan Allah dan bukan sebagai pengemis yang meminta belas kasihan orang kaya. Semua harta kekayaan adalah milik mutlak Allah dan manusia hanyalah sebagai pemegang amanah. Sisitem zakat dapat mengawal keseimbangan dan hak kebebasan setiap individu untuk berusaha mencari rezeki di samping menjaga hak-hak masyarakat.[4]

Zakat secara langsungnya juga merupakan suatu sistem jaminan sosial hasil daripada peranannya dalam menyediakan saraan hidup dan modal, di samping memerangi sistem riba, menggalakkan pekerjaan serta tujuan-tujuan ekonomi dan sosial yang lain. Jaminan sosial dan ekonomi melalui sistem zakat ini membawa negara ke arah keseimbangan ekonomi dan keadilan sosial meliputi aspek kerohanian dan kebendaan.[5]

Bagi memastikan matlamat pensyariatan zakat tercapai, pelbagai usaha telah digarap oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W. lagi dalam memantapkan pengurusan zakat. Tindakan tegas khalifah Islam yang pertama memerangi golongan yang ingkar mengeluarkan zakat amat jelas. Sayyiduna Abu Bakar Al-Siddiq mengambil tindakan memerangi mereka yang enggan mengeluarkan zakat selepas wafatnya Rasulullah S.A.W.

Sumbangan awal lain yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah Islam ialah penubuhan Baytul Mal oleh Sayyiduna Umar al-Khattab. Institusi ini bertindak sebagai pusat pengurusan perbendaharaan negara meliputi zakat, jizyah, ghanimah, kharaj, fay’, bayaran gaji pegawai tadbir, tentera dan sebagainya. Institusi seumpama ini kemudiannya dikembangkan ke seluruh kota-kota Islam.

Sehingga ke hari ini, pelbagai perubahan dan kemajuan dalam sistem pengurusan zakat telah dilaksanakan. Namun, sebagai manusia yang lemah, kita tidak dapat lari dari kekurangan dan kelemahan. Walau bagaimanapun, kita harus sentiasa berusaha mencari jalan terbaik memperkasa peranan institusi zakat agar dapat memberi impak positif ke arah pembangunan negara dan umat Islam.

2. STRATEGI-STRATEGI MEMPERKASA PERANAN INSTITUSI ZAKAT
Senario pembayaran zakat di Malaysia pada keseluruhan menampakkan peningkatan yang sungguh menggalakkan. Prestasi kutipan zakat tahun 2003 seluruh negara berjumlah RM 378 juta manakala zakat fitrah RM 59 juta. Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM 408 juta, meningkat 9% dari kutipan keseluruhan tahun 2002 yang berjumlah RM 373 juta.[6]

Apa yang ingin diketengahkan di sini merupakan beberapa saranan penting bagi memperkasa institusi zakat dan memantapkan sistem pengurusan zakat di negara ini. Langkah-langkah berikut dianggap perlu bagi merealisasikan pembangunan ekonomi yang seimbang, komprehensif, dan menyeluruh serta menjamin kehidupan yang berkualiti bagi setiap rakyat Malaysia.

2.1 Menyelaraskan Institusi Zakat Setiap Negeri
Terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh institusi-intitusi zakat di negara ini. Antaranya ialah ketidakseragaman dalam pengurusan hal ehwal zakat, perbezaan kaedah pengiraan zakat, isu pengurusan agihan wang zakat dan pembayar yang tidak mengikut sempadan negeri.

Walaupun sudah sekian lama dicadangkan dan pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyeragamkannya, hanya baru-baru ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan persetujuannya dengan pusat zakat negeri-negeri untuk menyeragamkan zakat di peringkat kebangsaan pada tahun 2004.[7] Usaha ini dianggap sebagai batu loncatan untuk mewujudkan penyeragaman sistem zakat di peringkat nasional.

Sebelum ini sememangnya sudah ada badan penyelaras di peringkat pusat iaitu Bahagian Penyelarasan Baitulmal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), namun usaha ini perlu diperkembangkan lagi ke arah menubuhkan sebuah majlis zakat peringkat kebangsaan. Pusat Pungutan Zakat, MAIWP juga pernah menyuarakan cadangan agar ditubuhkan Lembaga Urusan Zakat Malaysia (LUZAM) yang dapat menyatu dan menyelesaikan masalah berkaitan zakat. Walau bagaimanapun, usaha penubuhan LUZAM tidak dipersetujui negeri-negeri atas beberapa faktor.[8]

Faktor-faktor yang menghalang penubuhan LUZAM, pertama ialah penubuhannya bertentangan dengan perlembagaan negara iaitu pentadbiran agama terletak di bawah bidang kuasa raja-raja atau kerajaan negeri. Kedua, terdapat kekhuatiran negeri-negeri akan kehilangan kuasa dalam mentadbir mengenai urusan zakat apabila diambil alih oleh kerajaan persekutuan.[9]

Memandangkan kepada alasan-alasan tersebut, maka sebagai gantinya, ditubuhkan Majlis Zakat Negara. Majlis Zakat Negara yang dicadangkan ini akan diletakkan di bawah kuasa Majlis Raja-Raja sama seperti Majlis Tanah Negara dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang ditubuhkan di peringkat persekutuan. Ahli-ahlinya adalah wakil dari majlis agama Islam negeri-negeri. Manakala Pengerusi Majlis Zakat Negara dilantik oleh Majlis Raja-Raja secara bergilir-gilir antara negeri. Dengan wujudnya Majlis Zakat Negara ini, ia dapat dijadikan medan pertemuan antara pentadbir-pentadbir zakat untuk membincangkan permasalahan dan mencari penyelesaian berkenaan zakat, dan ini sekaligus menyatukan dan menyeragamkan sistem zakat di negara ini.[10]

2.2 Memperbanyak dan Menstruktur Cawangan Pusat Pengurusan Zakat di Seluruh Negara
Dengan adanya pusat-pusat pembayaran zakat di seluruh negara sekarang, sistem pengurusan zakat kelihatan semakin berkesan. Namun prestasi pengurusan zakat perlu dipertingkatkan agar pungutan zakat yang diagihkan kepada asnaf mencapai matlamat asas pensyariatannya iaitu pengagihan kekayaan yang seimbang dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mapan.
Secara umumnya, purata pungutan zakat di kebanyakan negeri di Malaysia telah meningkat dari setahun ke setahun. Namun, perangkaan pungutan dan agihan zakat memperlihatkan satu keadaan yang tidak stabil. Di semua negeri kecuali Wilayah Persekutuan, zakat yang dipungut tidak diagihkan kesemuanya kepada para asnaf. Sebagai contoh, menurut laporan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam Utusan Malaysia, 12 Disember 2002, hanya RM230 juta atau 75 peratus sahaja daripada RM306 juta zakat yang dipungut di seluruh negara pada tahun 2001 yang diagihkan kepada asnaf-asnaf.

Antara faktor utama yang dikenal pasti wujudnya keadaan ini ialah masalah perhubungan antara pusat-pusat pungutan zakat dengan asnaf-asnafnya khususnya faqir miskin. Ini diakui sendiri oleh Pegawai Perhubungan Awam Pusat Zakat Selangor, Akhtar Sahari seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia, 28 November 2002. Beliau mengakui bahawa pihaknya tidak dapat mengenal pasti jumlah keseluruhan faqir miskin dengan tepat kerana sukar mendapat maklumat lengkap, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Keadaan yang sama turut berlaku di negeri-negeri yang lain seperti Pulau Pinang, Kedah dan sebagainya.[11]
Faktor lain yang turut memburukkan keadaan termasuklah masalah birokrasi. Asnaf-asnaf zakat terpaksa memohon zakat dengan mengisi borang. Dengan proses begini, pelbagai rintangan perlu dihadapi oleh pemohon berkenaan. Yang ketiga ialah jumlah zakat yang diberikan kepada asnaf-asnaf, terutamanya faqir dan miskin adalah kecil. Pada tahun 2002, Pusat Urus Zakat Pulau Pinang memberikan hanya RM180 kepada setiap faqir dan miskin seperti yang dilaporkan Berita Harian, 25 November 2002. Manakala Pusat Zakat Selangor memberikan antara RM700 hingga RM1000 (Utusan Malaysia, 28 November 2002).[12]

Salah satu punca timbulnya masalah jurang perhubungan ini ialah kerana kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada sesuatu pusat adalah terlalu luas. Para pembayar zakat yang tinggal jauh dari pusat bandar menghadapi kesukaran untuk membayar zakat. Bahkan pusat pengurusan zakat sendiri pun sukar untuk menjalankan kerja-kerja pengagihan.

Institusi zakat wajar meneruskan usaha dari semasa ke semasa dalam memperluaskan cawangan pusat zakat ke seluruh bandar dan kawasan yang strategik bagi memudahkan urusan pengutipan dan pengagihan zakat. Selain menambahkan bilangan pusat zakat, penstrukuran pusat zakat juga perlu dengan cara melokalisasi pungutan dan pengagihan zakat. Kaedah lokalisasi di sini bermaksud, setiap pungutan zakat di sesuatu kawasan diagihkan atau diutamakan kepada asnaf-asnaf di lokaliti atau kawasan itu sendiri.[13]

Pungutan dan pengagihan zakat tersebut boleh dilakukan oleh cawangan pusat zakat di kawsan masing-masing dengan penyelarasan dan penyeliaan di peringkat negeri, dan seterusnya ke peringkat kebangsaan. Kaedah lokalisasi zakat ini turut membawa kepada proses desentralisasi iaitu pusat pengurusan zakat mestilah mengagihkan kuasa memungut dan mengagih kepada kakitangannya di lokaliti tempatan. Kaedah ini tidak bertentangan dengan pemusatan dan penyeragaman zakat seperti yang telah disebutkan. Majlis Zakat Negara yang dicadangkan bertindak sebagai penyelaras dalam pentadbiran dan pengurusan. Cuma perlaksanaan tugas memungut dan mengagih zakat diperkembangkan ke peringkat yang lebih kecil. Proses lokalisasi yang mengutamakan lokalisasi tempatan ini juga tidak bermakna kawasan lain yang lebih memerlukan tidak boleh menerima zakat dari kawasan yang berlainan. Maka, di sinilah peranan institusi zakat pusat untuk membuat penyelarasan.

Dengan kaedah penstrukturan ini, jurang perhubungan antara pusat zakat dengan para asnaf dan pembayar zakat dapat dirapatkan, dan seterusnya masalah yang timbul seperti kesukaran untuk memungut dan mengagihkan zakat dapat diatasi dengan mudah.

2.3 Menyelaraskan antara Zakat dan Cukai
Perlaksanaan cukai oleh sesebuah negara bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam. Bahkan menjadi wajib atas dasar kemaslahatan yang mesti dipenuhi yang bersandarkan kepada dalil al-Quran dan al-Sunnah. Cukai berperanan sebagai nilai tambah kepada fungsi zakat yang merangkumi aspek sumber pendapatan kerajaan, alat jaminan sosial, alat pengagihan pendapatan, serta alat untuk mencapai kestabilan dan pertumbuhan ekonomi.[14]

Pembentangan Belanjawan 2005 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi beberapa tahun lalu memberi peluang kepada para peniaga untuk mendapatkan potongan daripada cukai perniagaan mereka terhadap pembayaran zakat perniagaan. Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LHDN, Tuan Hj Mohd Saian Hj Ridzuan mulai tahun 2005, kerajaan telah meluluskan supaya bayaran zakat perniagaan yang dibayar oleh sesebuah syarikat, dibenarkan sebagai satu potongan cukai untuk syarikat. Selama ini, tiada peruntukan di dalam Akta Cukai Pendapatan (ACP 1967) yang membolehkan syarikat menuntut bayaran zakat perniagaan sebagai tolakan dibenarkan.[15] Bayaran zakat perniagaan tersebut dibenarkan ditolak dari pendapatan agregat syarikat.[16]

Menurut beliau lagi, jumlah potongan zakat perniagaan yang dibenarkan bagi maksud cukai pendapatan hendaklah tidak melebihi daripada 2.5% atau 1/40 dari Pendapatan agregat sesebuah perniagaan bagi sesuatu tahun taksiran. Potongan zakat yang dibenarkan untuk potongan mestilah dibayar kepada badan berkuasa agama yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, atau orang perseorangan yang diberi kuasa oleh badan agama tersebut dan potongan ini berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2005.[17]

Perkara ini dilihat sebagai langkah positif ke arah menyelaraskan sistem zakat dan cukai. Usaha ini perlu dipertingkatkan lagi untuk memperkasa instusi zakat dan cukai negara kerana kedua-duanya merupakan sumber pendapatan tetap negara.

Jika kita mengkaji sejarah Islam, pada masa dahulu institusi baitulmal menjadi pusat pengurusan kewangan negara yang merangkumi zakat, cukai, ghanimah dan sebagainya. Walaupun kini kita berada di zaman yang kehidupannya lebih kompleks dan global, penyelarasan antara kedua-dua sistem iaitu zakat dan cukai adalah wajar dilakukan. Ini keran terdapat beberapa masalah seperti pertindihan antara zakat dan cukai perniagaan yang kini telah diberikan potongan oleh kerajaan. Begitu juga dengan masalah zakat pendapatan, dan sebagainya. Pembahagian kepada unit yang berlainan mungkin boleh diteruskan, cuma diselaraskan di bawah satu pentadbiran di peringkat pusat.

Pihak kerajaan perlu membuat penyelidikan menyeluruh dalam memastikan pengurusan kewangan yang lebih mantap dan efisyen. Usaha kerajaan dalam memberikan potongan cukai kepada zakat perniagaan wajar dipuji. Namun usaha penyeragaman antara zakat dan cukai diharapkan dapat diperkembangkan lagi supaya dapat mengukuhkan jaminan sosial dan membentuk sistem kewangan negara yang ampuh dan mampu berhadapan dengan cabaran globalisasi yang tidak menentu.

2.4 Pengagihan Zakat Sebagai Modal Untuk Pelaburan Jangka Panjang
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Awang Adek Hussin dalam akhbar Utusan Malaysia memberitahu bahawa terdapat 50,000 keluarga di Malaysia dikategorikan sebagai miskin tegar iaitu bersamaan dengan satu peratus daripada 26 juta rakyat Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 40,000 keluarga tinggal di luar bandar dan 10,000 keluarga lagi tinggal di bandar.[18]

Namun, pengagihan zakat di kalangan asnaf terutamanya faqir dan miskin adalah lebih berbentuk sara diri dan kepenggunaan segera dan semasa. Hal ini menyebabkan matlamat pengagihan kekayaan secara seimbang tidak akan tercapai. Golongan faqir dan miskin akan selamanya menjadi faqir dan miskin dan hanya bergantung kepada zakat dan subsidi kerajaan.
Sudah tiba masanya kerajaan mengubah pendekatan yang lebih bijak agar golongan asnaf dapat memanfaatkan zakat dengan lebih efisyen dan menghasilkan keuntungan. Semakin berkurangnya asnaf, khususnya faqir dan miskin, maka ini bermakna sistem zakat di tempat tersebut adalah sangat professional. Kerajaan perlu menjalankan pelbagai usaha yang proaktif dalam menangani masalah kemiskinan dan meletakkan sasaran untuk mengurangkan dan menghapuskan kemiskinan tegar.

Zakat yang diagihkan perlulah dijadikan modal sama ada dalam bentuk dana untuk memulakan perniagaan, pertanian dan sebagainya atau dalam bentuk saham syarikat, perusahaan dan sebagainya. maka dengan ini diharapkan golongan faqir miskin yang menerima zakat ini, suatu masa nanti akan beroleh keuntungan dan manfaat dan tidak perlu lagi menerima zakat. Ini dapat membantu meningkatkan ekonomi negara sekaligus pungutan zakat dapat diagihkan kepada faqir miskin lain pula yang lebih memerlukan.


2.5 Sentiasa Membuat Penyelidikan Yang Menyeluruh dan Proaktif
Pihak-pihak yang berkaitan sama ada jabatan kerajaan yang mengendalikan pengurusan zakat, golongan akademik, dan individu seharusnya berusaha menjalankan penyelidikan dan kajian berkaitan permasalahan fiqh zakat, pengurusan, ikhtilaf ulama, penerokaan sumber baru zakat, serta pembangunan institusi zakat. Ini perlu bagi memastikan pengurusan zakat dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa sesuai dengan perubahan pesat kehidupan manusia yang semakin kompleks.

Kajian dengan penuh mendalam terhadap interpretasi asnaf zakat perlu dijalankan. Golongan yang termasuk dalam kategori asnaf mungkin boleh diperluaskan jika diselidik dengan teliti berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta pendapat ulama yang muktabar. Sebagai contoh, saham fi sabilillah (untuk jalan Allah), yang secara umumnya disepakti oleh ulama empat mazhab adalah untuk tentera-tentera yang berjihad dan berperang kerana Allah. Ia boleh diperluaskan maknanya kepada tujuan membiayai pendidikan, membina hospital, masjid, untuk tujuan dakwah, dan sebagainya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam Fakhr al-Razi dalam Mafatih al-Ghayb[19] dan al-Shaykh Mahmud Shaltut dalam Fatawanya[20].

Namun, ini memerlukan kajian yang teliti, agar amanah menguruskan zakat dijalankan dengan penuh ikhlas dan tidak disalurkan kepada golongan yang tidak sepatutnya menerimanya, sebaliknya kepada golongan yang memerlukannya yang bersandarkan kepada ketetapan al-Quran dan al-Sunnah dan hujah-hujah yang bernas.

Terdapat sesetengah masalah yang mungkin menjadi isu seperti mangsa bencana alam yang cuba dikategorikan dalam saham fi sabilillah, namun didapati tidak semuanya yang miskin. Ada sesetengah dari mereka yang kaya.[21] Ini memerlukan kajian yang teliti dari pihak berkaitan sama ada dari aspek hukum atau pengendalian agihan zakat tersebut.

Begitu juga dengan persoalan-persoalan lain yang melibatkan penerokaan sumber zakat yang baru seperti zakat pendapatan, saham dan juga penyelidikan mengenai status urusan pungutan, unjuran potensi kutipan, struktur organisasi serta sistem yang boleh diwujudkan bagi meningkatkan kutipan zakat. Pihak berkaitan perlu memformulasi idea dan pemikiran melalui kajian mendalam agar dapat mengaplikasikan segala hasil penyelidikan untuk memperkasa institusi zakat dan membangunkan minda dan kemajuan masyarakat.

2.6 Meningkatkan Pemahaman dan Kesedaran Masyarakat
Pelbagai cara boleh digunakan dalam memberikan penerangan kepada masyarakat mengenai zakat. Antaranya ialah melalui ceramah, seminar, dialog, diskusi, kursus dan sebagainya. Sebagai contoh, pada 14 April 2005, Pusat Zakat Selangor (PZS) MAIS telah mendadakan satu majlis dialog di Shah Alam bagi mendedahkan kepada usahawan dan ahli korporat tentang isu-isu zakat terkini dan implikasinya dalam dunia perniagaan. Melalui dialog itu pelbagai isu telah dikupas termasuk kaedah pengiraan untuk potongan zakat perniagaan terhadap cukai korporat, peranan dan perkembangan terkini institusi zakat terutama daripada segi kutipan dan agihannya di samping implikasinya terhadap golongan korporat.[22]

Menurut salah seorang peserta, Mariani Mohd Yusuf, 32 dari syarikat Kumpulan Lebar Daun, majlis tersebut telah memberi kesan yang mendalam kepadanya terutama dari segi tanggungjawab menunaikan zakat perniagaan. Menurutnya, program seperti ini hendaklah diadakan selalu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang tanggungjawab yang sepatutnya mereka tunaikan. Beliau sebelum ini hanya arif tentang zakat pendapatan mulai sedar tentang tanggungjawab zakat perniagaan yang juga perlu ditunaikan.[23]
Usaha memberi kesedaran kepada masyarakat bukanlah hanya tugas pusat pengurusan zakat semata, bahkan semua pihak harus mengembleng tenaga bersama-sama menyeberkan ilmu mengenai zakat kepada umat Islam. Ahli akademik juga kini semakin banyak terlibat dalam aktiviti ini seperti ini. Antara program yang telah dijalankan ialah Muzakarah Pakar Zakat anjuran Kumpulan Kajian Zakat dan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 21 dan 22 Disember 2002 di UKM. Muzakarah yang dihadiri oleh ahli akademik, penggubal dasar, penyelidik, pelajar, dan individu ini membincangkan penemuan terkini kajian zakat, penerokaan sumber zakat, serta jaringan keselamatan sosial zakat sebagai salah satu alat keselamatan yang penting.[24]

Selain itu, maklumat mengenai zakat juga boleh dihebahkan melalui bahan bacaan bercetak seperti buku, majalah, surat khabar dan sebagainya. Kerajaan juga perlu menggunakan saluran media elektronik seperti televisyen, radio, dan internet bagi menyampaikan informasi mengenai zakat kepada umum. Masih ramai di kalangan anggota masyarakat yang masih kurang faham mengenai zakat, kaedah pembayarannya, cara mengira nilai zakat dan sebagainya.

Usaha-usaha ini juga perlu ditambah dengan sokongan semua pihak. Masjid dan surau juga wajar dijadikan platform untuk memberi penerangan kepada masyarakat mengenai zakat. Pihak jawatankuasa surau atau kampung boleh bekerjasama dengan institusi zakat untuk mengadakan ceramah, seminar atau kursus berkaitan zakat. Aktiviti ‘turun padang’ sepatutnya lebih diperbanyakkan berbanding saluran lain kerana dengan cara berdepan dan dari mulut ke mulut lah, kefahaman dan kesedaran dapat ditanam dengan berkesan.

Menurut Pengerusi, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Dato’ Haji Abdul Rahim Abu Bakar, peranan utama institusi zakat adalah menyedarkan masyarakat Islam dan mendidik mereka agar menunaikan satu daripada lima rukun Islam iaitu zakat. Ini seterusnya dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan wang zakat.[25]

Usaha-usaha peningkatan kefahaman berzakat dan pemasaran perlulah dilaksanakan secara berterusan oleh institusi zakat seperti publisiti radio dan TV, majlis-majlis dialog dan taklimat kepada majikan, kempen, pengiklanan di majalah dan akhbar, ‘electronic billboard’ serta sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya. Program-program yang dijalankan juga perlulah merangkumi segenap lapisan masyarakat sama ada kakitangan kerajaan atau swasta, ahli korporat, penduduk bandar dan luar bandar.

2.7 Mempelbagaikan Kaedah Pembayaran Zakat
Dari semasa ke semasa, banyak usaha telah digarap bagi memudahkan para pembayar zakat menunaikan zakat mereka. Antaranya ialah dengan menyediakan sistem pembayaran melalui pos, kaunter bank, perbankan internet, perbankan telefon, kad kredit, dan melalui internet, di samping kaunter pusat zakat sendiri.

Antara pusat pengurusan zakat yang dianggap paling aktif dalam mempromosikan alternatif baru dalam pembayaran zakat di Malaysia adalah Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pusat Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor. Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai contoh telah meluaskan kaedah pembayaran zakat melalui skim potongan gaji, biro Angkasa (koperasi), dan mesin ATM.[26] Dengan kepelbagaian cara dan kaedah membayar zakat, pembayar zakat dapat berurusan dengan institusi pengurusan zakat dengan lebih mudah, dan sekaligus kutipan zakat dapat ditingkatkan.

Salah satu usaha yang harus dicontohi oleh semua institusi zakat ialah kerjasama yang telah dibuat antara Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan Angkatan Tentera Malaysia. Sejak tahun 2003 PPZ telah mengorak langkah mengadakan satu memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak Urusan Gaji Angkatan Tentera Malaysia (UGAT). PPZ telah dilantik sebagai badan penyelaras dan penyaluran balik semua bayaran zakat seluruh anggota angkatan tentera di Malaysia kepada negeri tempat mereka bekerja melalui skim potongan gaji.[27]

Namun, usaha sebegini perlu diperbaiki dan diperkemaskan lagi, khususnya kepada masyarakat di luar bandar yang mempunyai kemudahan yang agak terhad. Pihak institusi zakat mungkin boleh mencari alternatif lain bagi memudahkan penduduk luar bandar seperti mengadakan kaunter pembayaran bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan. Setiap institusi zakat memerlukan pengurusan dan pentadbiran zakat yang moden, penggunaan teknologi komputer terkini, maklumat pembayar yang sentiasa dikemaskini serta menyediakan saluran pembayaran baru dan pelbagai kemudahan kepada golongan pembayar zakat dengan mudah, selesa dan mesra.

2.8 Meningkatkan Mutu Perkhidmatan dan Memberikan Latihan kepada Kakitangan
Usaha pengkorporatan institusi zakat di seluruh negeri di Malaysia wajar dilakukan bagi meningkatkan mutu perkhidamatan. Ini kerana kejayaan dan keberkesanan sistem pengurusan secara korporat telah dibuktikan oleh Pusat Pungutan Zakat (MAIWP) dan Pusat Zakat Selangor (MAIS). Dengan pentadbiran yang lebih tersusun dan pengendalian yang terancang, operasi memungut dan mengagihkan zakat dapat dijalankan dengan lebih sempurna dan sistematik.

Menurut Pengurus Besar PPZ, Mohd Rais Haji Alias, PPZ telah berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pembayar dengan penganugerahan Sijil Pengiktirafan MS ISO 9001:2000 pada bulan Januari 2003. Pengiktirafan ini adalah lanjutan penaiktarafan dari sijil terdahulu iaitu MS ISO 9002 :1994.[28]

Begitu juga dengan aspek teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), PPZ telah berjaya membangunkan Sistem Integrasi Zakat (SIZA) yang berupaya mengendalikan aspek Sistem Pungutan Zakat malah menggabungkan 14 modul lain seperti Sistem Operasi Zakat, Sistem Pengurusan Sumber Manusia, Sistem Maklumat Eksekutif serta lain-lain sistem yang dibangunkan bersamanya. PPZ juga telah mempertingkatkan fungsi SIZA dengan penggunaan aplikasi berasaskan web bagi membolehkan pembayaran zakat dibuat dari mana-mana lokasi di dunia.[29]

Setiap institusi zakat di seluruh negara perlu berusaha ke arah mendapatkan pengiktirafan dalam piawaian ISO (International Standard Organisation) supaya dapat membangunkan sistem pengurusan kualiti. Setiap kakitangan juga harus diberi pendedahan sewajarnya mengenai sistem pengurusan kualiti ISO melalui siri program latihan kursus dalaman dan luaran serta aplikasinya dalam konteks pengurusan institusi zakat. Sebuah unit kualiti juga mesti diwujudkan di setiap pusat zakat agar dapat mengawal kualiti sistem organisasi dan perkhidmatan.

Begitu juga dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kini, semua pusat zakat di Malaysia menggunakan sepenuhnya keupayaan ICT bagi menguruskan kutipan dan agihan zakat. Namun, terdapat perbezaan dimana urusan zakat dilakukan oleh negeri masing–masing dan setiap negeri mempunyai pangkalan data pembayar masing-masing.

Seluruh pusat zakat perlu menggunakan sepenuhnya keupayaan ICT bagi merekodkan maklumat pembayar dan jumlah bayaran serta maklumat penerima agihan dan jumlah agihan pada keseluruhan operasi bagi memudahkan operasi. Penggunaan ICT perlulah merangkumi sistem berpusat dan mempunyai rangkaian timbalbalas serta boleh diakses di semua cawangan dan mempunyai kemudahan talian yang cekap bagi menghubungkan antara ibu pejabat dan cawangan.

Penggunaan teknologi baru ini dapat memudahkan pengurusan dan pemantauan jumlah kutipan dan agihan zakat secara menyeluruh di seluruh Malaysia di samping meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam urusan zakat. Ia juga dapat membantu kerja–kerja pengauditan dan menyeragamkan prosedur pengurusan institusi zakat.

Latihan kepada kakitangan juga penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar prestasi kerja dapat diperbaiki dari semasa ke semasa. Setiap institusi zakat perlu mengaturkan program dan kursus berkenaan zakat dan pengurusannya kepada setiap kakitangannya supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan daya produktiviti.

Penubuhan Institut Profesional Baitulmal oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan[30] juga merupakan suatu langkah bijak dalam meningkatkan taraf profesionalisme bidang pengurusan zakat di samping menjalankan penyelidikan dan pendidikan secara komprehensif.
Institusi zakat sepatutnya melebarkan peranannya lebih daripada sekadar memungut dan menyalurkan zakat, bahkan memberi bantuan secara kolektif terhadap golongan faqir miskin dan anak yatim. Sebagai contoh, antara langkah positif yang telah diambil oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ialah penubuhan rumah anak yatim Darul Kifayah.[31] Dengan adanya pusat ini, nasib anak-anak yatim akan lebih terbela dan sekaligus memudahkan institusi zakat, mahupun orang ramai menyalurkan bantuan.

Pelbagai inisiatif lain boleh diambil oleh institusi zakat bagi mengaktifkan peranannya seperti membina pusat rawatan Islam, pusat khidmat wanita dan saudara baru, pusat bimbingan, kaunseling, motivasi dan sebaginya. Kita sewajarnya bersikap lebih matang dan produktif dalam mengaplikasikan hukum dan nilai-nilai Islam dan tidak boleh bersikap jumud dengan hanya berpandukan tafsiran literal atau harfiyyah nas al-Quran atau al-Sunnah berkenaan zakat. Para ulama terkemuka sejak dari dahulu hingga kini sentiasa berijtihad dan mengkaji secara mendalam untuk mencari penyelesaian terhadap permasalahan ummah, termasuklah persoalan zakat.


3. PENUTUP
Masih terdapat umat Islam pada masa kini yang tidak mengambil berat atau tidak tahu mengenai kepentingan ibadat ini. Sesetengah umat Islam hanya tahu mengenai zakat fitrah yang wajib dibayar ketika bulan Ramadan sahaja. Selain itu, ada juga mengambil berat soal sembahyang, puasa dan menunaikan ibadat haji namun penghayatannya tidak sama terhadap ibadat zakat. Justeru, ini memerlukan suatu institusi yang kemas lagi teratur dalam usaha memberikan kefahaman kepada maysarakat mengenai zakat, di samping mengutip dan mengagih wang zakat berkenaan.
Zakat sepatutnya menjadi teras kepada sistem ekonomi ummah. Ini kerana, matlamatnya yang dapat diterima oleh semua, iaitu pembangunan insan dan pembasmian kemiskinan secara holistik. Selain itu, prinsip dan falsafahnya yang bersifat global, mampu melangkaui setiap isu dan persoalan secara makro dan mikro. Cuma yang mungkin berbeza adalah dari segi cara pengurusan dan pelaksanaan di negara dan negeri masing-masing.

Apa yang penting ialah semua pihak mestilah menggerakkan usaha bersepadu dalam memberikan sumbangan positif ke arah pemantapan sistem zakat di negara ini khususnya dan di seluruh negara Islam umumnya. Segala cadangan yang baik dan bernas sewajarnya dikaji dan dipertimbangkan oleh institusi zakat agar dapat memperkasa peranannya dalam mendepani cabaran mendatang.



RUJUKAN
Al-Quran al-Karim.
Abdullah Ibrahim. 1990. Peranan zakat dalam pembangunan masyarakat. Dlm. Konsep dan pelaksanaaan pembangunan berteraskan Islam. Pulau Pinang: Penerbit USM.
Abu al-cAzaim, Muhammad Madi. 1992. Tafsir Surah al-Baqarah. Al-Islam Watan, 59: 10-13.
Amir Yusoff. 2003. Asnaf zakat: tumpuan terhadap pemberian zakat kepada mangsa bencana alam. Prosiding Seminar Kebangsaan Fiqh Semasa 2003: Menghadapi cabaran globalisasi, hlm. 133-143.
Hailani Muji Tahir. 2002. Fiqh muamalat dan zakat: pengaplikasiannya dalam menjana kekuatan umat. Prosiding Muzakarah Pakar Zakat, Kumpulan Kajian Zakat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, hlm. 1-23.
Harun Din. 1991. Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusataka.
Konsep Islam Hadhari: satu penjelasan. 2005. Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Mohd As’ari Hashim. 2005. Zakat Perniagaan dapat potongan cukai korporat, wawancara bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LHDN, Tuan Haji Mohd Saian Hj Ridzuan. Asnaf, 1: 6-7.
Muhammad Azizan Abdullah. Zakat-merapatkan jurang kemiskinan. (atas talian) http://www.e-zakat.com.my/ (30 Mei 2005).
Muhammad Syukri Salleh. 2002. Lokalisasi zakat: satu cadangan teoritis. Prosiding Muzakarah Pakar Zakat, Kumpulan Kajian Zakat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, hlm. 105-117.
Noormala. Dialog bersama ahli korporat dedah isu zakat terkini. (atas talian) http://www.e-zakat.com.my/ (30 Mei 2005).
Prosiding Muzakarah Pakar Zakat. 2002. Bangi: Kumpulan Kajian Zakat UKM.
Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. 2004. Laporan tahunan zakat 2003.
Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. (atas talian) http://www.zakat.com.my/ (30 Mei 2005).
al-Razi, Muhammad ibn cUmar. 1995. Mafatih al-Ghayb. Beirut: Dar al-Fikr.
Shaltut, Mahmud. 1991. Al-Fatawa. Beirut: Dar al-Shuruq.
Zulfaqar Mamat. 2004. Kepentingan cukai menurut Islam. Sinar Rohani, 9: 30-32.

[1] al-Quran, al-Tawbah: 103.
[2] Abu al-cAzaim, Tafsir Surah al-Baqarah, al-Islam Watan, 59, 1992, hlm. 11; Hailani Muji Tahir. Fiqh muamalat dan zakat: pengaplikasiannya dalam menjana kekuatan umat, Prosiding Muzakarah Pakar Zakat, Kumpulan Kajian Zakat, Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 2.
[3] al-Quran, al-Macarij: 24-25.
[4] Harun Din, Manusia dan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991, hlm. 185-186.
[5] Abdullah Ibrahim, Peranan zakat dalam pembangunan masyarakat, Dlm. Konsep dan pelaksanaan pembangunan berteraskan Islam, Penerbit USM, Pulau Pinang, 1990, hlm. 62.
[6] Mohd Rais Haji Alias, Perutusan Pengurus Besar PPZ-MAIWP, Laporan tahunan zakat 2003, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekuruan, 2004, hlm. 10; Statistik kutipan zakat harta dan zakat fitrah bagi tahun 2003 mengikut negeri-negeri di Malaysia, Laporan tahunan zakat 2003, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekuruan, 2004, hlm. 71-82.
[7] Muhammad Azizan Abdullah, Zakat-merapatkan jurang kemiskinan, (atas talian) http://www.e-zakat.com.my/ (30 Mei 2005).
[8] Mengapa perlu ditubuhkan majlis zakat negara?, Laporan tahunan zakat 2003, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekuruan, 2004, hlm. 90-91.
[9] ibid.
[10] ibid.
[11] Muhammad Syukri Salleh, Lokalisasi zakat: satu cadangan teoritis, Prosiding Muzakarah Pakar Zakat, Kumpulan Kajian Zakat, Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 105-117.
[12] ibid.
[13] ibid
[14] Zulfaqar Mamat, Kepentingan cukai menurut Islam, Sinar Rohani, 9, 2004, hlm. 30-32.
[15] Mohd As’ari Hashim, Zakat Perniagaan dapat potongan cukai korporat, wawancara bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LHDN, Tuan Haji Mohd Saian Hj Ridzuan, Asnaf, 1, 2005, hlm. 6-7.
[16] Pendapatan agregat ialah jumlah besar pendapatan perniagaan dari semua punca termasuk pendapatan perniagaan, sewa, dividen, dan lain-lain.
[17] Mohd As’ari Hashim, Zakat Perniagaan dapat potongan cukai korporat , Asnaf, hlm. 6-7.
[18] Muhammad Azizan Abdullah, Zakat-merapatkan jurang kemiskinan, (atas talian) http://www.e-zakat.com.my/.
[19] Al-Razi, Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr, Beirut, 1995, Jil. 8, hlm. 115.
[20] Shaltut, al-Fatawa, Dar al-Shuruq, Beirut, 1991, hlm. 119.
[21] Amir Yusoff, Asnaf zakat: tumpuan terhadap pemberian zakat kepada mangsa bencana alam, Prosisding Seminar Kebangsaan Fiqh Semasa 2003: Menghadapi cabaran globalisasi, 2003, hlm 133-143.
[22] Noormala, Dialog bersama ahli korporat dedah isu zakat terkini, (atas talian) http://www.e-zakat.com.my/ (30 Mei 2005).
[23] ibid.
[24] Prosiding Muzakarah Pakar Zakat, Kumpulan Kajian Zakat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
[25] Perutusan Pengerusi PPZ-MAIWP, Laporan tahunan zakat 2003, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekuruan, 2004, hlm. 9.
[26] Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, (atas talian) http://www.zakat.com.my/ (30 Mei 2005).
[27] Perutusan Pengurus Besar PPZ-MAIWP, Laporan tahunan zakat 2003, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekuruan, 2004, hlm. 11.
[28] Mohd Rais Haji Alias, Perutusan Pengurus Besar PPZ-MAIWP, Laporan tahunan zakat 2003, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekuruan, 2004, hlm. 11.
[29] ibid.
[30] Institut Profesional Baitulmal (IPB), Laporan tahunan zakat 2003, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekuruan, 2004, hlm. 63-64.
[31] Kompleks Darul Kifayah, Laporan tahunan zakat 2003, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekuruan, 2004, hlm. 66-67.
*Adaptasi dari artikel Bagaimana memperkasa peranan institusi zakat sempena Pertandingan Menulis Esei Zakat, Pusat Pungutan Zakat, MAIWP (2005)

2 ulasan:

~najihahfaizahazaman~ berkata...

salam ziarah, ustaz..
(^_^)

Kasih Cinta Kita berkata...

terima kasih dengan info tentang zakat nie...InsyaAllah dapat membantu zara utk exam zakat 31hb 11 nie..

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP