.

.

Sabtu, 5 September 2009

FASAKH

DEFINISI DAN KONSEP
Fasakh merupakan salah satu daripada cara yang dibenarkan oleh syariat islam bagi meleraikan ikatan perkahwinan. Talak adalah hak mutlak bagi lelaki, manakala fasakh memberi hak kepada isteri untuk menuntut perceraian atas sebab-sebab tertentu yang munasabah melalui keputusan yang dibuat oleh seorang qadi atau hakim.

Fasakh dari segi bahasanya bermaksud membatalkan atau membubarkan. Sementara dari sudut istilah syara’nya merujuk kepada memutuskan atau membubarkan perkahwinan disebabkan kecacatan yang berlaku sewaktu akad perkahwinan (contohnya: pengantin belum baligh) atau kecacatan daripada suami atau isteri yang menghalang daripada berkekalannya suatu perkahwinan (contohnya: salah seorang pasangan menjadi gila dan sebagainya).

Fasakh adalah perpisahan yang dituntut oleh isteri kerana suami tidak dapat menjaga perkahwinan atau tidak sekufu dengan isteri. Dalam erti kata lain fasakh merupakan hak bagi isteri untuk menuntutnya daripada mahkamah bagi membubarkan perkahwinannya dengan sebab-sebab yang tertentu yang munasabah dari pandangan syara’ melalui pertimbangan dan keputusan hakim setelah perbicaraan dijalankan.


PENSYARIATAN FASAKH

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:
“(Mereka) bolehlah berpegang dengan cara yang makruf atau bercerai dengan cara yang baik, bolehlah kamu pegang mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud membuat mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka, dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiayai dirinya sendiri.” (Surah al-Baqarah: 229 – 231)

Sabda Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud:
‘Jangan memudaratkan dan jangan saling memudaratkan’

Kaedah yang dipakai oleh para ulama fiqh dalam hal ini ialah menjaga keselamatan dan menolak kemudaratan.


SEBAB-SEBAB MEMBOLEHKAN FASAKH

Islam mengharuskan fasakh untuk kebaikan bersama dan tidak menggalakkan kehdiupan rumahtangga yang kacau bilau dan huru hara. Fasakah memberi ruang kepada pasangan khususnya isteri untuk melepaskan ikatan perkahwinan kerana sebab-sebab tertentu yang menyebabkan rumahtangga tidak aman dan harmoni. Sebab-sebab tersebut merupakan alasan yang boleh dipertimbangkan kemunasabahannya oleh hakim untuk memutuskan bahawa tuntutan fasakah olseh seorang isteri itu wajar diterima atau tidak dengan melihat kepada hujah-hujah dan bukti keterangan dari pihak isteri yang memohon fasakh serta keterangan dari pihak suami.

1. Suami tidak mampu atau cuai memberi nafkah termasuklah kegagalan memberi nafkah yang disebabkan oleh masalah ekonomi atau kemiskinan suami mengikut pandangan jumhur ulama. Walau bagaimanapun, ulama mazhab Hanafi mengecualikan alasan kemiskinan dan kesempitan hidup.
2. Aib dan kecacatan pada suami yang membawa kemudaratan kepada rumahtangga seperti gila, penyakit kusta, sopak, hiv, mati pucuk, lemah syahwat yang menghilangkan keupayaan untuk bersetubuh dan sebagainya.
3. Tidak sekufu iaitu tidak setaraf mengikut kedudukan isteri. Walaupun ia bukan merupakan syarat sah perkahwinan, namun ia merupakan suatu perkara penting yang perlu dipertimbangkan oleh pasangan sebelum mendirikan rumah tangga kerana ia juga menjadi salah satu punca keretakan perkahwinan dan boleh dijadikan alasan kepada isteri untuk meminta fasakh.
4. Murtad iaitu keluar dari agama Islam. Jika demikian, maka suami wajib membayar separuh mahar. Manakala jika yang murtad ialah isteri, maka isteri tidak mendapat apa-apa.
5. Suami hilang dan tidak diketahui sama ada masih hidup atau mati. Semua empat mazhab berpendapat bahawa seorang isteri yang hilang suaminya tanpa khabar berita hendaklah menunggu sehingga diyakini akan kematiannya. Namun mereka berselisih pendapat tentang tempoh masa yang ditetapkan untuk menunggu sehingga dibolehkan untuk memohon fasakh. Mazhab Hanafi mengatakan bahawa isteri hendaklah menunggu sehingga umur suaminya mencecah sehingga 120 tahun. Mazhab Hanbali pula mensyaratkan agar isteri menunggu hingga empat tahun jika kehilangannya secara zahir akan mengakibatkan kematian seperti kemalangan. Jika kehilangannya secara zahir ia selamat seperti bermusafir, maka isteri hendaklah menunggu sehingga umur seuaminya mencecah 90 tahun. Mazhab Maliki pula meletakkan empat tempoh bergantung bentuk kehilangannya. Kehilangan yang disebabkan wabak di dalam negara Islam adalah empat tahun. Manakal kehilangan di dalam negara kafir adalah sehingga umur suaminya 70 tahun. Kehilangan kerana berperang sesama Muslim adalah empat tahun. Manakala berperang dengan orang kafir adalah selama setahun setelah dilakukan siasatan dan pencarian.
6. Perseteruan atau perbalahan besar sehingga suami dan isteri saling tuduh menuduh antara satu sama lain ataupun meporak porandakan rumahtangga. Perbalahan seumpama ini memerlukan pihak ketiga iaitu wakil dari suami dan wakil dari isteri untuk mendamaikan keduanya sebelum isteri memohon fasakh daripada hakim.
7. Darar atau bahaya dan kemudaratan yang menimpa diri isteri pada aspek daruriyat iaitu agama (seperti suami murtad dan mempengaruhi isterinya untuk murtad), nyawa (seperti suami mengancam bunuh isterinya atau menyuruh isterinya melakukan perkara jenayah yang mengancam nyawanya), akal fikiran (seperti suami memukul atau mendera sehingga menyebakan gangguan mental dan sebagainya), maruah dan keturunan (seperti msuami mendera fizikal dan mencerakan tubuh badan), atau harta benda (mencuri atau mengambil hak isteri dengan zalim dan sebaginya)
8. Suami dipenjara yang diqiyaskan dengan sebab kehilangan yang mengakibatkan isteri berjauhan dari suami dan tidak mendapat nafkah zahir dan batin. Walau bagaimanapun mazhab Hanafi dan Syafi’I tidak mengharuskan fasakh kerana suami dipenjarakan.
9. Atau apa-apa alasan yang ditetapkan pihak berkuasa atau yang difikirkan munasabah oleh hakim untuk membolehkan dibubarkan perkahwinan.


IMPLIKASI DARI FASAKH

Fasakh jika berlaku ketikamana kedua-dua pasangan belum pernah melakukan persetubuhan, maka tidak ada mahar yang perlu dibayar kepada isteri oleh suami. Sebaliknya, jika pernah melakukan persetubuhan maka isteri berhak mendapatkan mahar sepenuhnya iaitu mengikut nilai penuh mahar yang telah ditentukan semasa bernikah.

Fasakh juga tidak memberi kesan kepada bilangan talak atau dalam maksud lainnya ia tidak mengurangkan bilangan talak. Walau bagaaimanapun jika kedua-dua pasangan ingin berkahwinan semula, maka ia memerlukan kepada akad nikah yang baru.


HIKMAH FASAKH
1. Mengelakkan isteri dianiayai dan disiksa oleh suami.
2. Menunjukkan keadilan Allah kepada hambanya. Jika suami diberikan talak, isteri diberikan fasakh.
3. Memberi peluang isteri berpisah daripada suaminya dan memulakan hidup baru.

5 ulasan:

bungacahaya berkata...

Terima kasih

hati diluka derita berkata...

Terima kasih

hati diluka derita berkata...

Terima kasih.info terbaik..

Mizz Honeydew Corner berkata...

As salam saya telah dipukul dengan suami dah sejak itu saya tidak pernah berjumpa dgn suami..dia hanya berjumpa dengan ank2 kami je.saya tlh mmbuat laporan polis & mbuat pmeriksaan di hospital.sekarang ni saya lihat suami semakin berani menunjukkan kemesraan dia dan girlfriend dia di facebook dimana ramai sahabai handai kami disitu..saudara mara juga ada di facebook dia..suami telah memblock saya di facebook..soalan saya bolehkah saya menuntut cerai fasakh?

Yusri Mohamad Ramli berkata...

Maaff kerana lambat memberi reply. Saya baru terbaca dan terbuka komen ini. Untuk perhatian Puan dan pembaca lain, blog ini tidak lagi diteruskan dan hanya menjadi arkib untuk bacaan sahaja. Jika ada persoalan boleh emel terus ke xinnira@gmail.com.

Bagi memberi respon ringkas dan semata-mata akademik: Hakikatnya, lelaki dan perempuan dijadikan Tuhan untuk bersatu dan bukan untuk berpisah. Oleh kerana itu ia menjadi perkara yang amat dimurkai Tuhan. Walau bagaimanapun kadang kala manusia tidak mampu menghalang keadaan yang berlaku, justeru Tuhan benarkan dan haruskan (sebagai jalan terakhir) perceraian melalui proses talak oleh lelaki atas fasakh oleh Hakim atas permintaan isteri. Fasakh ditentukan oleh hakim setelah dimohon oleh isteri dengan memberikan hujah-hujah yang kuat. Sebaiknya cuba pertahankan rumah tangga, namun jika Puan kini sudah mencapai tahap yang tidak mampu lagi meneruskan rumah tangga, Puan boleh berhubung dengan pejabat agama dan pihak yang berkenaan untuk tindakan seterusnya. Ini sekadar pandangan akademik sahaja dan tidak berniat mencampuri urusan peribadi mana-mana pihak. Maaf jika reply ini agak terlambat. Semoga Allah merahmati Puan dan keluarga.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP