.

.

Isnin, 26 Oktober 2009

'Asabiyah Pemangkin Dakwah Islamiah

Oleh: Yusri Mohamad Ramli

Dakwah agama tanpa 'asabiyyah tidak akan mendatangkan hasil. Ini kerana rakyat hanya mampu digerakkan dengan dorongan 'asabiyyah.[1] Ibn Khaldūn memetik sebuah Hadith Sahih yang bermaksud:

“Allah tidak mengutuskan seorang Nabi pun kecuali ia berada dalam penjagaan kaumnya.”

Ibn Khaldūn menegaskan bahawa Sedangkan para Nabi a.s. sendiri pun yang merupakan semulia-mulia makhluk dan mempunyai pelbagai kelebihan memerlukan kepada penjagaan keluarga dan kaum, apatah lagi manusia biasa yang tidak mempunyai apa-apa kelebihan, tidak mungkin akan berjaya tanpa 'asabiyyah.[2]

Ibn Khaldūn memberikan contoh yang terjadi pada Ibn Qasiyy[3], seorang ahli shaykh Sufi dan pengarang kitab tasawwuf, Khal’un al-na'layn[4]. Beliau telah menyertai pemberontakan dalam melaungkan seruan kebenaran di Andalus bersama-sama golongan al-Murabitun menentang pemerintahan al-Muwahhidūn. Pemberontakan al-Murābitūn ini terjadi tidak beberapa lama sebelum bermulanya seruan jihad al-Mahdī.[5]
Pemberontakan sedemikian tidak lain dan tidak bukan merupakan suatu penentangan terhadap ketidakadilan dan penindasan yang dilakukan oleh kerajaan al-Muwahhidūn yang tidak berjaya menyatukan rakyatnya. Sekiranya pemerintah mengukuhkan semangat agama dan disertai dengan semangat 'asabiyyah, nescaya kerajaan yang didirikan akan menjadi kukuh dan rakyat akan bersatu dan tidak mudah berpecah-belah. Namun, pemberontak al-Murābitūn yang telah bersatu padu dengan semangat 'asabiyyah telah berjaya menumbangkan kerajaan al-Muwahhidūn dan merampas kekuasaan dari tangan mereka.

Sesebuah kerajaan yang besar dan berkuasa hanya dapat ditumbangkan dengan suatu serangan bersepadu yang hebat yang didukung oleh semangat 'asabiyyah. Inilah yang dilakukan oleh para Nabi a.s. ketika menyebarkan ajaran Allah kepada pelbagai bangsa dan puak.[6]

Ibn Khaldūn menambah lagi bahawa apabila seseorang ingin melakukan pembaharuan (tajdīd) agama, maka hendaklah dengan demikian iaitu dengan semangat 'asabiyyah. Bertindak bersendirian akan membawa kepada kegagalan. Pembaharuan agama merupakan urusan Tuhan yang tidak akan terlaksana tanpa keredhaan dan pertolongan dari Allah di samping dilakukan dengan ikhlas.[7]

Ibn Khaldūn memberikan contoh yang berlaku kepada Sahl ibn Salāmah al-Ansārī yang digelar dengan Abū Hātim. Beliau mengikat mushaf al-Quran di lehernya sambil menyeru orang ramai melakukan amal kebajikan dan mencegah kemungkaran serta mengajak orang ramai agar melakukan sesuatu kerja berdasarkan kepada al-Quran dan al-Hadith. Beliau memerangi sesiapa sahaja yang menentang al-Kitab dan al-Sunnah tidak kira walau siapapun termasuk khalifah. Ramai orang yang mengikutinya sehinga Ibrāhīm bin al-Mahdī mempersiapkan tentera untuk menyerangnya dan pengikutnya. Akhirnya Sahl pun tewas dan berjaya ditahan.[8]

Ibn Khaldūn mengulas bahawa kisah ini menunjukkan bahawa mereka yang bertindak walaupun untuk menegakkan kebenaran, sedangkan tidak mempunyai apa-apa kesatuan asabiyyah, perjuangan mereka tidak akan sampai ke mana. Ini kerana kebiasaannya mereka ini tidak mendapat keyakinan dan sokongan orang ramai. Sokongan dan keyakinan pula tidak diperolehi kerana niat mereka yang tidak ikhlas iaitu semata-mata untuk memperoleh kedudukan yang tinggi dan jawatan sebagai pemimpin.[9]

Begitu juga dengan al-Tubadhrī yang mengaku bahawa beliau adalah al-Fātimī (al-Mahdī) al-Muntazar. Ramai di kalangan orang Barbar yang terpengaruh dengan dakyahnya sehingga mencetuskan ketegangan. Namun akhirnya perjuangan beliau menemui kegagalan setelah disekat oleh pemimpin al-Musāmidah.[10]

Satu lagi contoh yang dikemukakan oleh Ibn Khaldūn ialah seorang lelaki di Ghimārah[11] yang dikenali dengan nama al-'Abbās yang juga mengaku sebagai al-Mahdī. Para pengikutnya terdiri daripada orang-orang bodoh yang kurang ilmu pengetahuan. Al-'Abbās denga pengikutnya telah menyerang kota Badis. Namun, beliau dan para pengikutnya terbunuh setelah empat puluh hari melancarkan serangan.[12]Ibn Khaldūn begitu menitik beratkan mengenai konsep 'asabiyyah. Beliau meletakkan ikatan 'asabiyyah sebagai asas penubuhan negara. Ini kerana kemenangan akan terhasil apabila mempunyai kesatuan yang kuat yang terhasil dari ikatan 'asabiyyah yang bermatlmatkan ke arah kerjasama dalam kebaikan dan ketakwaan dan bukannya dalam kejahatan dan persengketaan. Kekuatan sedemikian akan melahirkan rakyat dan anggota yang sanggup berjuang bermati-matian demi memperjuangkan kebenaran dan mempertahankan negara. Kekuatan 'asabiyyah yang dipadukan dengan kekuatan agama akan menjadikan sesuatu negara atau bangsa digeruni dan tidak dapat dikalahkan walaupun dengan bilangan tentera musuh yang banyak atau teknologi yang lebih maju. Inilah yang penulis lihat sebagai faktor utama kelemahan umat Islam pada hari ini yang sentiasa ditindas oleh kuasa-kuasa besar seperti Israel, Amerika, dan sekutu-sekutu mereka.

[1] Ibn Khaldūn, Tārīkh Ibn Khaldūn al-musammā kitāb al-'ibar wa dīiwān al-mubtadā wa al-khabar fīi ayyām al-'Arab wa al-'Ajam wa al-Barbar wa man 'āsarahum min dhawīi al-sultān al-akhbar. Jil. 1: Kitāb al-Muqaddimah, Dār al-Kitāb al-'Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, 1992, hlm. 168.
[2] ibid.
[3] Ahmad bin Qasiyy, wafat pada tahun 546H/1151M. Beliau mula memberontak sejak berumur 10 tahun. Sila lihat Ibn al-'Arif, Mahāsin al-majālis, hlm. 5; Ibn Hazm, Jamharat ansāb al-'Arab, Paris, 1933, hlm. 467.
[4] Judul penuh kitab ini ialah Khal' al-na'layn wa al-iqtibās al-anwār min mawdi' al-qadamayn. Satu lagi karya yang mempunyai judul yang hampir sama ialah kitab Khal' al-na'layn fi wusūl ilā hadrat al-jam'ayn oleh 'Abd Allah al-Busnawī 'Abdī (wafat 1054H/1644M). Al-Hajj Khalīfah di dalam Kashf al-zunūn menyebutkan bahawa karya 'Abdī ini adalah ulasan atau syarahan kepada karya Ibn Qasiyy.
[5] Ibn Khaldūn, Tārīkh Ibn Khaldūn, hlm. 168.
[6] ibid., hlm. 169.
[7] ibid.
[8] ibid., hlm. 170.
[9] ibid.
[10] ibid.
[11] Sebuah wilayah di Maghribi.
[12] Ibn Khaldūn, Tārīkh Ibn Khaldūn, hlm. 171.

5 ulasan:

adzim berkata...

ada baik buruknya.

pada saya, asabiyyahlah digunakan sebagai isu oleh penjajah untuk menumbangkan Khilafah Uthmaniyyah. Iraq dengan kaumnya, Bahrain dengan kaumnya, Jordan dengan kaum dan rajanya, dan lain-lain.

Isunya, bagaimana orang akan menyokong kebenaran. Dan bagaimana ingin membawa kebenaran kalau tiada pengikut. Biasanya, rakyat akan bangkit menentang bila berlaku ketidakadilan. Hanya orang yang dikuasai emosi dan gagal mendapat maklumat tepat sahaja biasanya akan bertindak berdasarkan semangat asabiyyah.

Lagipula, saya lebih melihat definisi asabiah itu sebagai menyokong kaum tanpa usul periksa, dan menyokong walaupun ia ternyata salah. Contoh: mempertahankan ahli keluarga walaupun nyata dia telah melakukan kesalahan.

Penulis menyentuh tentang ditindas oleh kuasa besar seperti israel dan AS. Pada saya itu juga berpunca daripada asabiyyah. kerana, media meniupkan bahawa apa yang terjadi di Palestin misalnya, itu masalah bangsa Palestin dan negaranya, tiada kaitan dengan bangsa dan negara lain, walaupun negara dan bangsa lain itu sama-sama Islam.

mungkin penubuhan negara dipangkin atas dasar asabiyyah, tetapi, seluas mana sahaja sesuatu bangsa itu bertebar di muka bumi.

maka, saya kira, dakwah Islamiah biasanya dipangkin oleh akhlak yang mulia, kerja bersungguh, ikhlas dan dekat hubungan da'ie dengan Tuhan.

namun, asabiyyah ada membantu, dalam keadaan-keadaan tertentu.

setiap perkara ada baik dan buruknya, setiap orang ada pendapat dan hujahnya. Wallahu A'lam.

KANGKUNG THE GREAT berkata...

apa maksud sebenar assabiyyah?

bleh jelaskan?

Faiz As-Syirazi berkata...

Ana nak minta penjelasan mengenai hadith di bawah. bukanlah ianya berkisar tentang larangan terhadap sikap Asabiyyah? :

“...sesiapa yang berperang di bawah panji kebutaan, marah kerana asabiyyah, menyeru org lain agar bersikap asabiyyah,atau membantu golongan asabiyyah,lalu terbunuh, maka kematiannya adalah jahiliyah...”-[hadis riwayat Muslim,no1477]

“bukanlah dari kalangan kami sesiapa yg menyeru kpd asobiyah, dan bukanlah dari kalangan kami mereka yang berperang atas asabiyah, dan bukanlah dari kalangan kami mereka yang mati dalam keadaan asobiyah”-[hadis riwayat Abu Daud 4/332]

Namun di sana adanya penerangan Nabi saw yang menerangkan bahawa asabiyah itu adalah menolong kaumnya di atas kezaliman. Wallahualam

Yusri Mohamad Ramli berkata...

Menurut ust, 'asabiyah terbahagi kepada dua jenis:

1. 'asabiyah hasanah (kerjasama dalam perkara kebaikan dan ketakwaan)
2. 'asabiyah dalalah (kerjasama dalam perkara kejahatan dan permusuhan)

Apa yang dimaksudkan oleh oleh Ibn Khaldun dengan istilah 'asabiyah yang digunakannya adalah merujuk kepada jenis yang pertama dan bukannya 'asabiyah taksub melulu seperti jenis yang kedua yang lazim diguna dan difahami oleh masyarakat Muslim.

Yusri Mohamad Ramli berkata...

Kenyataan Dr. Burhanuddin al-Helmi ini mungkin dapat membantu para pembaca yang tidak berkesempatan mengkaji pemikiran Ibn Khaludn untuk memahami apa yang dimaksudkannya dengan 'asabiyah:

“Islam memandang kebangsaan sebagai alat dan bukan sebagai tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan boleh sebagai satu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu baginya tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan, tetapi hanya suatu alat atau tunggangan untuk menyampaikan ke akhirat.”

- dipetik Kursus Agama dan Politik, tahun 1954, terbitan Buana Singapura.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP