.

.

Sabtu, 17 Oktober 2009

Ketokohan Ulama Keluarga al-Siddiqiyah al-Ghumariyah

Oleh: Yusri Mohamad Ramli
*Artikel ini telah diterbitkan dalam Indriaty Ismail et. al. 2008. Issues of Culture and Thought: Malaysia-Jordan Perspectives. Bangi: Dept. of Theology and Philosophy


Pengenalan
Keluarga al-Ghumari sememangnya dikenali di dunia Islam sebagai keturunan ulama Islam yang masyhur dan memberi sumbangan besar dalam pemikiran dan keilmuan Islam. Cahaya keilmuan daripada para ulama keluarga al-Ghumari ini menyinari dari Maghribi (Morocco) merentasi seluruh negara dan benua termasuk, Mesir, Jordan, Malaysia, dan Indonesia.

Para shaykh keluarga al-Ghumari telah memberikan sumbangan besar dalam penyebaran ilmu kepada umat Islam khususnya dalam bidang Hadith. Boleh dikatakan hampir kesemua ulama khususnya dalam bidang hadith dalam zaman ini sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia mempelajari hadith dan mengambil ijazah dan sanad daripada mereka. Antaranya termasuklah ‘Alim al-Haramayn al-Marhum al-Shaykh al-Sayyid Dr. Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani, bekas penasihat kerajaan Arab Saudi dan ulama Mekkah yang terkenal dan juga al-Shaykh al-Muhaddith al-Musnid Mahmud Sa’id Mamduh, ulama Mesir terkenal yang kini bertugas sebagai penyelidik di Pusat Penyelidikan Pengajian Islam Dubai.

Tulisan ini cuba mengenengahkan keluarga al-Ghumariyah khususnya Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari dan anak-anaknya sebagai tokoh ilmuan Islam zaman ini yang memberi sumbangan besar dalam penyebaran pelbagai disiplin ilmu Islam.

Latar Belakang Keluarga al-Siddiqiyah al-Ghumariyah
Keluarga al-Siddiqiyah al-Ghumariyah berasal dari Tangiers atau Tanjah. Ghumari merupakan antara etnik Barbar yang utama di Maghribi dan dinisbahkan kepada Ghumarah, sebuah wilayah di di Maghribi.

Nasab keturunan keluarga Muhhamad bin al-Siddiq yang makruf di kalangan ahli keluarga al-Ghumariyah ialah Muhammad bin al-Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin ‘Abd al-Mu’min al-Ghumari al-Tanji bin Muhammad bin ‘Abd al-Mu’min bin ‘Ali bin al-Hasan bin Muhammad bin ‘Abd Allah bin Ahmad bin ‘Abd Allah bin ‘Isa bin Sa’id bin Mas’ud bin al-Fudayl bin ‘Ali bin ‘Umar bin al-’Arabi bin ‘Ilal bin Musa bin Ahmad bin Dawud bin Idris bin Idris bin ‘Abd Allah al-Kamil bin al-Hasan al-Muthanna bin al-Hasan al-Sibt bin Ali bin Abi Talib wa Fatimah binti Sayyiduna Rasulullah (s.a.w.) (al-Ghumari, 2001: 1).
Keluarga ini melalui Sayyid Muhammad bin al-Siddiq bersusur galur dari keturunan Rasulullah (s.a.w) melalui Sayyiduna Hasan bin ‘Ali. Malah isteri beliau yang pertama dan ibu kepada anak-anaknya juga merupakan anak ulama yang terkenal iaitu al-‘Arif billah Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani, yang juga dari keturunan Sayyiduna Hasan bin ‘Ali dan terkenal sebagai pensyarah kitab Hikam melalui karangannya, Iqaz al-humam fi sharh al-hikam dan pengarang dalam pelbagai bidang ilmu Islam. Hampir kesemua lapisan keturunan al-Ghumariyah ini merupakan ulama Islam yang tersohor pada zaman mereka (al-Ghumari, 2006).

Para ‘alim keluraga ini merupakan muhaddith dan pakar dalam pelbagai ilmu Islam termasuk aqidah, tasawwuf, fiqh, usul fiqh, bahasa Arab, tafsir, dan hadith. Mereka digelar sebagai Bukhariyun di Maghribi kerana kepakaran mereka dalam bidang hadith di samping banyak menjawat jawatan penting dalam bidang agama di negara tersebut.

Antara dari keluarga ini yang terkenal ialah Shaykh Sayyid Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani dan enam orang anak-anaknya iaitu Ahmad, ‘Abdullah, Muhammad al-Zamzami, ‘Abd al-Hayy, ‘Abd al-‘Aziz, Ibrahim, dan ramai lagi dari kalangan saudara mara mereka. Mereka memang tersohor di kalangan ulama pada zaman ini dalam memperjuangkan kebenaran di bawah panji Ahli Sunnah wa al-Jama’ah.

Al-Sayyid Muhammad bin al-Siddiq
Al-Sayyid Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani dilahirkan pada malam Jumaat hari Khamis bulan Rejab 1295H di Tajikan dari keluarga Bani Mansur al-Ghumariyah. Beliau telah menghafaz al-Quran ketika masih kecil dengan riwayat Warash, dan kemudian menghafaznya dengan tujuh riwayat serta mengkhatamkan al-Quran dengan riwayat al-Makki dengan saudaranya al-Sayyid Ahmad (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).

Setekah menghafaz al-Quran, beliau menuntut ilmu dengan abangnya iaitu al-‘Allamah al-Bari’ Sayyidi Muhammad al-Qadi dan juga dengan sepupunya, al-‘Allamah al-Muhaqqiq Zayn al-‘Abidin bin Muhammad al-Mu’azzin.

Beliau bersama bapanya, al-Siddiq kemudiannya berhijrah ke Fas (Fes) pada tahun 1312H. Di sana beliau belajar di Madrasah al-Sharatin. Pada ketika itu, beliau masih belum dibenarkan bapanya untuk bersama dengannya dan ahli-ahli zawiyah bapanya yang lain agar beliau menumpukan kepada peelajaran.

Pada suatu hari, ketika Muhammad berada di rumahnya di madrasah tempat beliau belajar, maka datang al-Shaykh al-Imam al-Qutb al-Rabbani Sayyidi Muhammad bin Ibrahim (r.a.) dan berkata kepadanya: “Aku berada di Fas sedangkan kamu seorang diri di madrasah ini. Ini tidak boleh. Bangunlah ikut bersamaku”. Maka beliau dibawa oleh Sayyid Muhammad Ibrahim ke zawiyah dan mengajarnya. Al-Sayyid Muhammad Ibrahim menulis beberapa matan di papan hitam dan berkata: “Jika kamu menghafaz matan-matan ini, aku akan memberikanmu ¼ riyal”. Bilamana beliau dapat menghafaz segala yang ditulis oleh al-Sayyid Muhammad Ibrahim, maka gurunya itu akan memberinya upah tersebut agar menggalakkannya menghafaz matan-matan tersebut. (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime. html).

Di samping menuntut ilmu, Sayyid Muhammad Ibrahim juga turut mendidik beliau dengan adab-adab tasawwuf dengan mengajarkannya kitab al-Hikam dan al-Tanwir fi isqat al-tadbir karya Ahmad ibn ‘Ata Allah, al-‘Uhud al-Muhammadiyyah dan al-Minan al-kubra karya ‘Abd al-Wahab al-Sha’rani, dan risalah datuknya, Sayyidi al-Haj Ahmad bin ‘Abd al-Mu’min.

Bahkan gurunya juga turut mengarahkannya supaya menghadiri majlis-majlis ilmu para ulama di Qurawiyin. Oleh kerana Qurawiyin terletak jauh dari zawiyahnya itu, maka beliau berpuasa setiap kali pergi menuntut ilmu di sana supaya tidak perlu kembali ke zawiyahnya di Fas untuk makan tengah hari.

Pada bulan Rabi’ al-Akhir pada tahun 1315, beliau telah pulang ke Tanja dan kemudian kembali semula ke Fas untuk bersama shaykhnya di zawiyah sehingga tahun 1318.

Antara karamah beliau adalah paras rupanya yang sempurna dari segi jasmani dan akhlaknya. Beliau berjalan dengan pantas sehingga jika ada seseorang yang berjalan bersamanya pasti akan merasa letih. Cahaya kehebatan terpancar dari wajahnya sehingga menimbulkan kegerunan kepada orang yang melihatnya sehinga apabila berjumpa dengannya, mereka terus mencium tangannya bagi memuliakan kealiman dan kewarakannya.

Bahkan juga ketikamana beliau di Kaherah dan Iskandariyah, orang ramai terpegun dengan personaliti beliau yang mengkagumkan yang sentiasa mengikut sunnah Rasulullah (s.a.w.). Beliau tidak pernah merasa takut melainkan kepada Allah Taala, sentiasa menjaga diri dari melakukan dosa-dosa sama ada besar atau kecil serta sentiasa mentaati Allah.

Sayyid Muhammad al-Siddiq kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 6 Syawal 1354 akibat menderita sakit jantung. Sebelum kematiannya, beliau sempat memberi pesanan kepada ahli keluarganya supaya sentiasa bertaqwa dan berpegang dengan agama. Jenazah beliau disembahyangkan oleh para muridnya dan umat Islam dari seluruh pelusuk kota Tanjah (http://www.alghomari.com/ aalame_wataragime.html).

Al-Sayyid Ahmad bin Muhammad al-Siddiq
Sayyid Abu al-Fayd Ahmad bin Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani dilahirkan di perkampungan Bani Sa’id, berhampiran dengan perkampungan Ghumarah di Utara Maghribi pada hari Juma’at 17 Ramadan 1320H. Setelah dua bulan kelahirannya, beliau dan bapanya kembali ke kampung mereka di Tanjah (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).
Beliau banyak menulis buku-buku biografi mengenai keluarganya sehingga beliau digelar sebagai Sahib al-tarjamah. Antara karya biografinya ialah al-Tasawwur wa al-tasdiq bi akhbar al-Shaykh Sayyidi Muhammad bin al-Siddiq, Bahr al-‘amiq fi marwiyat ibn al-Siddiq, al-Mu’zin bin akhbar Sayyidi Ahmad bin ‘Abd al-Mu’min, dan Sabhat al-‘aqiq.

Bilamana beliau mencecah umur lima tahun, bapanya telah memasukkannya ke sekolah untuk mengahafaz al-Quran dengan murid bapanya iaitu al-‘Arabi bin Ahmad Bu Durrah di samping menghafaz matan Ajrumiyyah dan matan-matan asas yang lain. Setelah tamat mengahafaz al-Quran, beliau seterusnya menuntut daripada gurunya itu pelbagai ilmu termasuk nahwu, sarf, fiqh Maliki, tawhid selain menghadiri pengajian bapanya di Masjid Besar Tanjah dalam bidang nahw, fiqh, dan hadith.

Bapa beliau amat mengambil berat mengenai pelajaran Sayyid Ahmad dan sentiasa menasihati dan menggalakkannya supaya gigih menuntut ilmu dan mencontohi para ulama. Sayyid Ahmad juga berguru dengan Shaykh Ahmad bin ‘Abd al-Salam al-‘Ibadi.

Pada tahun 1339H, beliau telah berangkat ke Kaherah untuk belajar di al-Azhar atas nasihat bapanya. Di sana beliau berguru dengan ramai ulama Mesir dan mendalami fiqh al-Maliki dan al-Shafi-i. Antara mereka ialah Shaykh Muhammad Imam bin Ibrahim al-Saqa al-Shafi’i yang mengajarnya ilmu nahw (al-Ajrumiyyah dan sharhnya oleh al-Kufrawi, sharh Ibn ‘Aqil, sharh al-Ashmuni, aqidah (al-Silm dan sharhnya oleh al-Bajuri serta Jawharat al-tawhid), fiqh (sharh al-tahrir), hadith (musnad al-Shafi’i, al-Bukhari, musalsal ‘Ashura dan musalsal awwaliyah), dan sebagainya. Malah, gurunya itu begitu takjub dengan kehebatan dan kebijaksanaan Sayyid Ahmad dan berkata: “Mesti bapa kamu merupakan seorang yang amat soleh dan ini adalah kerana keberkatannya. Sesungguhnya para pelajar tidak dapat memahami sharh al-Ashmuni melainkan telah mempelajari ilmu nahw dan membaca al-Ajrumiyyah, Qatr al-nada, dan kitab-kitab lain selama enam tahun. Sedangkan kamu dapat menguasainya hanya dalam tempoh tiga bulan” (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).

Gurunya yang lain adalah Mufti al-Diyar al-Misriyyah al-Shaykh Muhammad Bakhit al-Muti’i dalam bidang fiqh Hanafi (sharh al-hidayah), usul fiqh (sharh al-Isnawi ‘ala al-Minhaj), hadith (Sahih al-Bukhari), dan tafsir. Beliau juga turut berguru dengan al-Musnid al-Muhaddith ‘Umar Hamdan al-Tunisi al-Madani. Riwayat guru-gurunya ini dan lainnya ada disebutkan dalam bukunya iaitu Bahr al-‘amiq fi marwiyat ibn al-Siddiq.

Sekembali ke kampungnya, beliau duduk di rumahnya selama dua tahun untuk mentelaah hadith, menghafaz, dan mentakhrij serta tidak keluar rumah melainkan untuk bersembahyang di masjid. Kitab bidang hadith pertama yang ditulisnya adalah takhrij kepada Musnad Shihab al-Din dalam dua jilid yang diberi judul Fath al-wahhab bi takhrij ahadith musnad al-Shihab.

Pada tahun 1344, beliau dan bapanya pergi menghadiri muktamar al-Khilafah di Dimashq. Ketika di sana mereka bertemu dengan Sayyidi Muhammad bin Ja’far al-Kittani. Sayyid Ahmad seterusnya mengambil masa empat tahun mempelajari, meghafaz, dan mentelaah Hadith serta mempelajari Nil al-awtar oleh al-Shawkani dan al-Shama’il al-Muhammadiyyah oleh al-Tirmizi (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).

Pada masa yang sama, beliau telah menulis sebuah kitab syarah yang besar ke atas Risalah Ibn Abi Zayd al-Qayrawani dengan menyebutkan dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah bagi setiap masalah dan diberi judul Takhrij al-dala’il lima fi risalat al-Qayrwani fi al-furu’ wa al-masa’il. Beliau kemudiannya menulis kitab ringkasan (mukhtasar) daripada kitab tersebut yang diberi nama Masalik al-dilalah ‘ala matan al-risalah.

Pada tahun 1349, beliau kembali ke Kaherah dan bersama dengan saudaranya, ‘Abd Allah, dan Muhammad al-Zamzami untuk belajar di sana. Ketika di Mesir, beliau telah menulis banyak kitab di samping menuntut ilmu dengan ulama al-Azhar serta mempelajari Fath al-Bari, Muqaddimah Ibn Salah, dan belajar di Masjid al-Imam Husayn dan Masjid Kakhya. (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).

Pada tahun 1354, beliau kembali semula ke Maghribi kerana kematian bapanya. Beliau kemudiannya menggantikan bapanya memimpin zawiyah dan mengajar kitab-kitab hadith dan mustalahat al-hadith serta kitab-kitab ilmu hadith yang lain. Beliau kemudiannya telah menulis satu kitab berjudul al-Istinfar li ghazw al-tashabbuh bi al-kufar yang menghimpunkan hadith-hadith melarang umat Islam menyamai orang kafir.

Sayyid Ahmad bukan sahaja menumpukan hidupnya dalam bidang keilmuan, bahkan juga turut serta berjihad memerangi penjajah sehingga beliau pernah dipenjarakan beberapa tahun. Beliau kembali ke rahmatullah pada hari Ahad bulan Jamadil Akhir 1380H setelah menderita sakit. Beliau dikebumikan di Kaherah.

Beliau mempunyai banyak tulisan dan karya dalam pelbagai bidang seperti aqidah, tafsir, hadith, fiqh, tasawwuf, sejarah, biografi yang sebahagiannya masih dalam bentuk manuskrip. Antara keistimewaan tulisan-tulisan beliau yang diperakui oleh para ulama sezamannya ialah bahawa beliau mempersembahkan pendekatan dan gaya tulisan yang baru yang tidak pernah dihasilkan sebelum ini. Penulisan beliau mencakupi aspek takhrij, istikhraj, musnad, musalsalat, amali, mashikhat, serta isi kandungan yang disusun mengikut abjad (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).

Sayyid Ahmad bukan sahaja berkecimpung dalam penulisan biografi sahaja, beliau juga turut mendalami fiqh Maliki dan Shafi’i. Beliau juga belajar ilmu tafsir dan sharh al-Hidayah dalam fiqh Hanafi dengan ulama Mesir yang terkenal iaitu al-Shaykh Muhammad Bakhit al-Muti’i. Beliau menyeru para ulama yang berkelayakan agar berijtihad dan tidak hanya bertaqlid. Ini merupakan antara sebab beliau banyak menulis dalam bidang fiqh.

Sayyid Ahmad mempunyai lebih dari 20 buah buku dalam bidang fiqh. Ia dapat dibahagikan kepada dua jenis penulisan. Pertamanya ialah penulisan yang merangkumi keseluruhan aspek permasalahan fiqh seperti Sharh al-sunan al-kubra li al-Bayhaqi yang di dalamnya disebutkan hadith-hadith dalam mengikut bab dan disusun deng tertib, juga tentang khilaf dan tarjih, serta dalil-dalil tanpa menentang pendapat yang khilaf.

Jenis yang kedua ialah mengkhususkan kepada permasalahan tertentu seperti Bayan al-hukm al-mashru’ dan juga ringkasannya nafth al-ru’ bi bayan anna al-rak’ah la tudrak bi al-ruku’,Tawjih al-anzar li tawhid al-muslimin fi al-sawm wa al-iftar, dan Tahqiq al-amali fi ikhraj zakat al-fitr wa al-mal dan banyak lagi. Beliau lebih terkenal dalam bidang fiqh dengan penulisan bentuk kedua ini.

Dalam penulisan kedua ini, beliau banyak mengemukan penghujahan, perbincangan tentang perselisihan pendapat dengan bermula dengan perbincangan pandangan dari imam-imam mazhab satu demi satu, dan kemudiannya membincangkan dan mengemukakan dalil-dalil serta mentarjih. Teknik penulisan sebegini dapat dikesan dalam kebanyakan tulisan beliau.

Pada zaman beliau, ulama-ulama di Maghribi pada masa itu hanya mendalami ilmu fiqh Maliki tanpa menyentuh pandangan mazhab lain kecuali sedikit sahaja. Oleh kerana itu, usaha Sayyid Ahmad ini dianggap sebagai satu pembaharuan yang memecah tradisi keilmuan di Maghribi yang memang dikenali dalam sejarah sebagai pengikut fanatik mazhab Maliki. Usaha beliau ini mendapat pujian oleh para ulama pada zamannya. Al-Muhaddith al-Sayyid ‘Abd al-‘Aziz bin al-Siddiq dalam kata-kata aluannya dalam karya Sayyid Ahmad, al-Ifdal wa al-minah fi ru’yat al-nisa li Allah ta’ala fi al-jannah menjelaskan tentang keistimewaan tulisan-tulisan guru dan saudaranya itu: “Karya-karya beliau ini meliputi dalil-dalil dan hujah, kadang-kdang berhujah ke atas pandangan yang bertentangan bagi menetapkan masalah dengan nas-nas yang jelas, dan kadang-kadang dengan zahir nas dan kadang-kadang dengan kaedah ilzam. Akan tetapi, penulis dengan kekuatan dan ketajaman fikiran, hafazan, dan kefahaman yang mencapai taraf imam mujtahid dalam kesemua perbincangannya tidak menulis masalah yang kecil atau yang besar dalam bidang hadith atau fiqh atau usul melainkan apa yang menimbulkan ketakjuban kepada akal para pembacanya” (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).

Al-Faqih al-‘Allamah Mustafa al-Zarqa di dalam kitabnya, al’Aql wa al-fiqh fi fahm al-haith al-nabawi juga turut memuji karya Sayyid Ahmad, Tahqiq al-amal fi ikhraj zakat al-fitr bi al-mal sebagai karya yang membincangkan setiap tajuk secara menyeluruh dalam semua aspek dan dikutakan dengan dalil-dalil dan nas.

Ahmad ibn Muhammad ibn al-Siddiq (1320-1380H) telah menulis lebih dari seratus buah karya. Antaranya ialah:
Riyad al-tanzih fi fadl al-Quran wa hamilih.
Al-Burhan al-jali fi tahqiq intisab al-sufiyyah ila ‘Ali.
Al-Mudawi li ‘ilal al-Jami’ al-Saghir wa sharhay al-Munawi. 6 jilid.
Al-Mughni ‘ala al-Hadith al-Mawdu’ah fi al-Jami’ al-Saghir.
Al-Minah al-matlubah fi istihab raf’u al-yadayn bi al-du’a ba’d al-salawat al-maktubah.
Birr al-walidayn.
Mutabaqat al-ikhtira’at al-‘asriyyah lima akhbara bihi Sayyid al-Bariyyah salla Allah ‘alayh wa sallam.

Al-Sayyid ‘Abd Allah bin Muhammad al-Siddiq
Al-Sayyid Abu al-Fadl ‘Abd Allah Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani dilahirkan pada akhir bulan Rejab 1328H bersamaan 1910M di Tanja, Maghribi. Sejak kecil beliau mendapat pendidikan daripada bapanya. Semasa di bawah pendidikan bapanya beliau telah menghafal al-Quran dengan riwayat Warash, dan setelah khatam beliau menghafaz pula dengan riwayat Hafs. Setelah itu beliau menghafal sesetengah matan ilmu agama seperti Nazam al-Kharraz yang berjudul Maurid al-Zam'an serta Matan Alfiyyah Ibn Malik, Matan Arba'in an-Nawawi, Ajrumiyyah, Bulugh al-Maram, al-Jawhar al-maknun dan Mukhtasar al-Syeikh al-Khalil. Beliau kemudiannya mempelajari kitab Syarh al-Azhari `Ala al-Ajrumiyyah daripada saudaranya Abu al-Fayd selain belajar dengan sepupu sebelah bapanya, Sayyid Muhammad bin ‘Abd al-Samad (al-Ghumari, 2006)

Setelah itu dengan perintah bapanya beliau telah merantau ke Fes untuk menuntut ilmu di Universiti al-Qurawiyyin. Di situ beliau belajar Syarh al-Alfiyyah karangan al-Makudi daripada al-Syeikh al-Syarif al-Habib al-Muhaji. Beliau juga mempelajari kitab tersebut beserta hasyiahnya (nota tepi) daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj bin al-Mahsyi. Beliau mempelajari Syarh Ibn `Aqil dan Hasyiah al-Sija'i daripada al-Syeikh Muhammad al-Hajj. Beliau mempelajari bahagian awal Syarh al-Kharsyi `Ala Mukhtasar Khalil daripada al-Syeikh al-Habib al-Muhaji dan kitab al-Jinayat dalam Syarh al-Kharsyi daripada al-Syeikh Ahmad al-Qadiri. Bab al-Buyu' dipelajari daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj. Beliau mempelajari Syarh al-Bukhari oleh Imam al-Qastalani daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj di Masjid Maulaya Idris. Antara guru beliau berkaitan kitab terbabit ialah al-Syeikh al-Husain al-`Iraqi, al-Allamah Abdul Hayy al-Kittani. Beliau mempelajari kitab Jam' al-jawami' Syarh al-Muhalla daripada beberapa orang guru seperti al-Syeikh Ali Husain al-`Iraqi, al-Allamah Abdullah al-Fudayli dan al-Syeikh al-‘Abbas Bannani.

Beliau kemudiannya kenbali ke kampung halamannya untuk mengajar di Madrasah bapanya di samping menyambung pengajian di bawah didikan bapanya. Ketika inilah beliau mula menjinakkan diri dalam arena penulisan. Kitab pertamanya adalah kitab yang mensyarahkan Matn Ajrumiyyah. Kitab tersebut diberi nama oleh sepupunya, Abu al-Fayd dengan judul Tashyid al-mabani li tawdih ma hawathu al-muqaddimah al-Ajrumiyah min al-haqa’iq wa al-ma’ani.

Pada penghujung bulan Sya'aban 1349H/1930M, beliau merantau ke Mesir dan menyambung pelajaran di Universiti al-Azhar. Di situ beliau mempelajari berbagai ilmu daripada ramai guru seperti al-Syeikh Abdul Qadir al-Zantani al-Tarabulsi, al-Allamah Muhammad Hasanain Makhluf al-Adawi al-Maliki, al-Syeikh Hamid Jad, al-Syeikh Mahmud Imam Abdul Rahman al-Mansuri al-Hanafi.

Beliau telah mengabdikan hidupnya dalam lapangan ilmu dengan mengajar kitab Jam' al-Jawami' Bisyarh al-Muhalla, Syarh al-Malawi `Ala al-Silm, Sullamu al-Wusul Ila `Ilm al-Usul, al-Jauhar al-Maknun fi al-Balaghah, Syarh al-Makudi, Tafsir al-Nasafi, al-Ahkam lil Amidi, dan Tafsir al-Baidawi.

Antara guru-guru beliau ialah:
1. Morocco: bapanya, Sayyid Muhammad al-Siddiq al-Ghumari dan bangnya, Sayyid Ahmad, Sayyid Ahmad ibn al-Tayyib al-Qadiri, al-‘Allamah al-Muhaddith ‘Abd al-Hayy al-Kittani, dan al-‘Allamah al-Qadi al-Husin al-‘Iraqi.
2. Tunisia: Shaykh Jami’ Zaytun Tahir ibn Asyur al-Tunisi al-Maliki.
3. Mesir: Shaykh Muhammad Bakhit al-Muti’I al-Hanafi, Musnid al-‘Asri Shyakh Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Abd al-‘Aziz ibn Rafi’ al-Husayni al-Tahtawi, Shaykh Muhammad Imam ibn Burhan al-Din Ibrahim al-Saqqa al-Shafi’i, Shaykh Muhammad ibn Ibrahim al-Samaluti, dan Shaykh Muhammad Zahid ibn Hasan al-Kawthari.
4. Hijaz: al-Muhaddith ‘Umar Hamdan al-Mahrisi, al-Muhaddith ‘Abd al-Qadir ibn Tawfiq al-Shalabi, dan Shaykh al-Mu’ammar Muhammad al-Marzuki ibn ‘Abd al-Rahman al-Makki al-Hanafi.
5. Sham: al-‘Allamah Badr al-Din ibn Yusuf al-Hasani, Shaykh Yusuf ibn Isma’il al-Nabhani, Shaykh Muhammad Gharib ibn Mahmud al-Tabbakh al-Halabi, al-Hanafi, dan Umm al-Banin Aminah binti ‘Abd al-Jalil ibn Salim al-Dimashqiyyah.

Sayyid ‘Abd Allah al-Ghumari meninggal dunia di Tangiers, Maghribi pada hari Khamis 19 Sya'aban 1413H bersamaan 11 Febuari 1993M dan dikebumikan bersebelahan kubur bapanya (al-Ghumari, 2001: 5)

Kitab karangan ‘Abd Allah ibn Muhammad ibn al-Siddiq terdapat lebih daripada 70 buah kitab dalam pelbagai bidang termasuk aqidah, tafsir, hadith, tasawwuf, usul fiqh, matiq, nahwu, balaghah, dan sebagainya. Antara karya tersebut ialah:
1. Al-Irgham al-mubtadi’ al-ghabi bi jawaz al-tawassul bi al-Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam.
2. Dilalat al-Quran al-Mubin ‘ala anna al-Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam afdal al’alamin.
3. Aqidah ahl al-Islam fi nuzul ‘Isa alayh al-salam.
4. Ihya al-maqbur fi jawaz bina al-qibab wa al-masajid ‘ala al-qubur.
5. Itqan al-sun’ah fi tahqiq ma’na al-bid’ah.
6. Husn al-tafahhum wa al-dark li mas’alat al-tark.
7. Husn al-talattuf fi bayan wujub suluk al-tasawwuf.
8. Al-I’lam bi anna al-tasawwuf min shari’at al-Islam.
9. Sharh al-irshad fi fiqh al-Malikiyyah.
10. Al-Qawl al-muqni’ fi radd ‘ala Albani al-mubtadi’.

Al-Sayyid Muhammad al-Zamzami bin Muhammad al-Siddiq
Al-Sayyid Muhammad al-Zamzami bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari dilahirkan pada malam Khamis 13 Jamad al-Awwal 1330H di Bur Sa’id, Mesir ketikamana ibu bapanya sedang dalam perjalanan menuju ke Mekkah untuk menunaikan haji (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).

Ketika kecil, beliau sebagaimana adik-beradiknya dididik oleh bapanya sendiri. Beliau mula menghafaz al-Quran sejak berumur lima tahun sebagaimana kebiasaan penduduk Maghribi yang lain dan beliau mengkhatamkan al-Quran dengan al-Shaykh al-Faqih Muhammad al-Andalusi al-Musawwari. Beliau sering menghabiskan masa lapangnya dengan membaca buku-buku di perpustakaan bapanya di samping belajar dengan abangnya, Sayyid Ahmad (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).

Pada tahun 1349H, beliau berangkat ke al-Azhar al-Sharif di Kaherah. Sepanjang perjalanannya, beliau sempat belajar dengan abangnya, Sayyid ‘Abd Allah beberapa buah kitab seperti Alfiyah Ibn Malik, Matn al-ajrumiyah, Waraqat al-haramayn, dan Jam’ al-jawami’. Ketika di Mesir, beliau berguru dengan para ulama besar al-Azhar.
Antara guru-guru beliau ialah:
Abangnya, al-Sayyid Ahmad.
Abangnya, al-Sayyid ‘Abd Allah.
Al-Shaykh Bakhit al-Muti’i.
Al’Allamah ‘Abd al-Salam Ghanim al-Dimyati.
Mufti Mesir, al-Shaykh Muhammad Hasanayn Makhluf al-‘Adawi.
Al-Shayk Abu Talib Hasanayn.
Al-Shaykh Mahmud Imam ‘Abd al-Rahman al-Mansuri.
Al-Shaykh Mustafa al-Safwah.
Al-Shaykh ‘Abd al-Majid al-Sharqawi.

Ketikamana bapanya meninggal dunia pada tahun 1354H, beliau telah kembali ke Tanjah dan mula mengajar di zawiyah Siddiqiyah dan seterusnya mengajar pula di Masjid Hady al-Rasul yang dibina kemudiannya sehinggalah ke akhir hayatnya. Kehidupannya sentiasa dipenuhi dengan cahaya ilmu, penulisan, dan dakwah sehingga beliau kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 28 Zu al-Hijjah 1408H di Tanjah. Jenazah beliau disembahyangkan pada hari Sabtu berikutnya di Masjid Besar Tanjah dan dimakamkan di masjidnya, Hady al-Rasul selepas waktu Zohor.

Al-Sayyid ‘Abd al-Hayy bin Muhammad al-Siddiq
Al-Sayyid ‘Abd al-Hayy bin Muhammad bin al-Siddiq dilahirkan di Tanjah dan dididik oleh bapanya sejak kecil sebagaimana kesemua adik-beradiknya. Beliau berangkat ke Mesir pada tahun 1355H bersama ‘Abd al-‘Aziz dan menetap di sana selama 11 tahun. Antara guru-guru beliau abangnya, al-Sayyid Ahmad dan al-Sayyid ‘Abd Allah, al-Shaykh ‘Abd al-Rahman, al-Shaykh Badr al-Din al-Dimashqi, al-Shaykg Raghib al-Tabbakh al-Halabi, al-Shaykg Khalil bin Badr al-Maqdisi, al-Shaykg ‘Abd al-Mu’ti al-Sharshini al-Misiri, al-Shaykh ‘Abd al-Wahhab al-Sayyid Salim al-Misri, al-Shaykh Muhsin Nasr al-Yamani, dan ramai lagi (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).

Beliau pakar dalam ilmu usul, hadith, dan fiqh serta sering menyeru supaya meninggalkan taqlid buta kepada mazhab yang membawa kepada pemikiran yang jumud. Beliau juga kuat berpegang dengan Sunnah Rasulullah (s.a.w.) dan menyeru orang ramai supaya mengikuti Sunnah Baginda.
Beliau mengajar ilmu-ilmu agama khususnya usul fiqh di sebuah sekolah agama yang terkenal di Tanjah sehingga kemudiannya menjadi pengetua di sekolah berkenaan.

Beliau kembali ke rahmatullah pada bulan Sha’ban 1415H dan dikebumikan berhampiran dengan kedua ibu bapanya. Antara karya beliau ialah:
Hukm al-lahm al-mustawrad min urubba al-nasraniyyah.
Iqamat al-hujjah ‘ala anna al-aimmah al-arba’ah lam yuhitu bi al-sunnah.
Tabyin al-madarik li rajhan sunniyat tahiyyat al-masjid waqt khutbat al-jumu’ah fi madhhab Malik.
Al-Ihlal bi jawab al-su’al ‘an hukm aghlal.
Fatawa shar’iyyah.

Al-Sayyid ‘Abd al-‘Aziz bin Muhammad al-Siddiq
Al-Sayyid ‘Abd al-‘Aziz bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari dilahirkan di Tanjah, Maghribi pada bulan Jamad al-Awwal 1338H (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html). Beliau dididik oleh bapanya sejak kecil dan setelah menghafaz al-Quran di bawah asuhan Sayyid Muhammad Bu Durrah, beliau mula menuntut ilmu dengan gurunya itu. Bapanya amat memberi perhatian terhadap beliau dengan menasihati dan mengajarnya agar menjadi seorang yang alim dan soleh.

Bapanya juga turut mengajarnya supaya tidak membaca atau merujuk kepada Hashiyah atau ulasan kepada kitab ketika sedang belajar. Ini kerana katanya jika beliau dapat memahami dan menguasai isi kandungan kitab atau matan yang kecil, maka akan mudah baginya untuk memahami sharah dan ulasan kitab tersebut.

Beliau juga diijazahkan oleh bapanya dengan tariqah Shazuliyah al-Darqawiyah dan mengizinkannya untuk mentalqinkan wirid tariqah ini sama ada secara umum atau khusus.
Setelah kematian bapanya, beliau menyambung pengajiannya di Universiti al-Azhar dan menuntut ilmu dengan ulama besar di sana seperti al-Shaykh ‘Abd al-Mu’ti al-Dimyati al-Sharshimi, Shaykh Mahmud Imam, Shaykh ‘Abd al-Salam Ghanim al-Dimyati al-Shafi’i, Shaykh Muhammad ‘Izat dan ramai lagi ulama di Mesir di samping belajar dengan abangnya, Sayyid Ahmad dan Sayyid ‘Abd Allah (http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html).

Beliau kembali ke Tanjah pada bulan Rabi’ al-Akhir 1366 setelah menetap di Mesir selama 12 tahun. Beliau banyak menghabiskan masanya di Tanjah dengan mengajar, menulis, dan berzikir di zawiyah Siddiqiyah. Beliau juga kerap menunaikan ‘umrah ke Mekkah. Beliau meninggal dunia pada tahun 1418H dan dikebumikan di sisi bapanya di zawiyah Siddiqiyah di Tanjah.
Antara karya beliau ialah:
Al-Tahani fi al-ta’qib ‘ala mawdu’at al-saghani.
Al-Ta’nis di sharh manzumah al-Dhahabi fi ahl al-tadlis.
Al-Bughyah fi tartib ahadith hilyah.
Al-Bahith ‘an ‘ilal al-ta’n fi al-Harith.
Al-Tuhfat al-‘aziziyyah fi al-hadith al-musalsal bi al-awwaliyah.

Al-Sayyid Ibrahim bin Muhammad al-Siddiq
Beliau merupakan ketua Majlis Tertinggi Ulama di Tangiers, dan Mufti Besar Maghribi. Beliau juga adalah pakar dalam bidang tasawwuf, fiqh, usul fiqh, hadith dan tafsir. Beliau menghafaz al-Quran sejak dari kecil lagi dan menguasai hampir kesemua cabang ilmu Islam daripada bapa dan abang-abangnya yang juga merupakan guru-gurunya. Beliau merupakan graduan daripada Universiti Qurawiyin. Dan pernah berkhidmat sebagai Imam Masjid Jami di Tangiers. Kepakaran Sayyid Ibrahim diakui oleh para ulama di Maghribi khususnya dalam bidang Hadith.
Selain berguru dengan bapa dan saudara-saudaranya, Sayyid Ibrahim juga menuntut ilmu dari beratsu-ratus ulama yang lain. Beliau juga memberi ijazah kepada ulama-ulama hadith di seluruh dunia yang meriwayatkan hadith daripadanya.

Penutup
Keluarga Sayyid Muhammad bin al-Siddiq merupakan kumpulan ulama mukhlisin yang terunggul pada zaman mereka. Warisan dan khazanah perbendaharaan keilmuan mereka sentiasa mekar di serata dunia melalui murid-murid mereka yang menyebar luas manfaat dari lautan ilmu keluarga ini.

Kegigihan keluarga ini menabur bakti dalam bidang keilmuan patut dijadikan contoh dan teladan kepada generasi masa kini. Ketokohan mereka sebagai pewaris dan penyebar ilmu sememangnya diakui oleh para ulama masa kini di seluruh dunia.

Kesungguhan Muhammad bin al-Siddiq mendidik anak-anaknya sehingga kesemuanya menjadi ulama yang terkenal juga patut menjadi ikutan oleh para ibubapa dan pendidik bagi melahirkan generasi ilmuan yang hebat yang dapat membangunkan masyarakat dan membina tamadun yang hebat.

Rujukan
A’lam wa tarajim. (atas talian)
http://www.alghomari.com/aalame_wataragime.html (28 Mac 2007).
Al-Ghumari, ‘Abd Allah al-Siddiq. 1998M/1419H. Al-I’lam bi anna al-tasawwuf min shari’at al-Islam. Qahirah: Maktabah al-Qahirah.
_______. 2001. Kewajipan bertasawwuf (Husn al-talattuf fi bayan wujub suluk al-tasawwuf). Terj. Muhammad Fuad Kamaluddin. Rembau: Abnak Production.
_______. 2006. Itqan al-sun’ah fi tahqiq ma’na al-bid’ah. Qahirah: Maktabah al-Qahirah.
_______. 2006. Makna sebenar bid’ah: satu penjelasan rapi. Terj. Muhammad Ramzi Omar. Cet. Ke-2. Bandar Seri Putra: Middle East Global (M) Sdn. Bhd.
Hamadah, Faruq. 2006M/1427H. Abd Allah al-Siddiq Al-Ghumari (1328-1413 H / 1910-1993 M). Dimashq: Dar al-Qalam.
Al-Maktabah al-Ghumariyyah. (atas talian)
http://www.alghomari.com/almaktaba_algomaria.html (28 Mac 2007).

2 ulasan:

BUJANG SUSAH berkata...

Assalamualaikum... Salam ziarah dari sahabat.. nice blog n good entry..

Sedikit tips dan info buat teman2 bloggers.. perkara remeh yg kita kurang perasan dan tutor 4 the latest read more.. tengok jgn x tengok.. sila
klik disini. Semoga bermanfaat insyaAllah..Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain(Hadis riwayat Al-Qudhi).

"SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT"

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Wallahualam.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran". - Surah Al-Asr:1-3.

blog anda bagus dan bermanfaat...!!! Teruskan menulis.. Semoga sejahtera dan semoga sentiasa diberi keberkatan.. wassalam.

BUJANG SUSAH berkata...

Assalamualaikum... Salam ziarah dari sahabat.. nice blog n good entry..

Sedikit tips dan info buat teman2 bloggers.. perkara remeh yg kita kurang perasan dan tutor 4 the latest read more.. tengok jgn x tengok.. sila
klik disini. Semoga bermanfaat insyaAllah..Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain(Hadis riwayat Al-Qudhi).

"SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT"

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Wallahualam.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran". - Surah Al-Asr:1-3.

blog anda bagus dan bermanfaat...!!! Teruskan menulis.. Semoga sejahtera dan semoga sentiasa diberi keberkatan.. wassalam.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP