.

.

Khamis, 15 Oktober 2009

SEJARAH PENUBUHAN ASEAN

Oleh: Yusri Mohamad Ramli
*petikan dari manuskrip tidak terbit: ASEAN: kerjasama serantau menuju perpaduan dan pembangunan

Perkara penting dalam sejarah negara-negara anggota ASEAN adalah penjajahan kuasa Barat di Asia Tenggara dan penguasaannya ke hampir seluruh negara-negara di Asia Tenggara. Antaranya ialah Indonesia yang dijajah oleh Belanda dan Portugis; Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam yang dijajah oleh Portugis, Belanda, dan British; serta Filipina yang dijajah oleh Sepanyol dan Amerika.

Jangka masa dan tempoh penjajahan yang panjang terhadap pemerintahan dan perundangan negara-negara di rantau ini telah membentuk tradisi, sosial dan budaya yang berbeza di setiap negara mengikut negara penjajah masing-masing. Golongan elit dari penduduk tempatan yang berpendidikan tinggi hanya berkhidmat semata-mata kepada penjajah yang memerintah. Hubungan dan kerjasama natara negara-negara jiran boleh dikatakan tidak wujud langsung.

Dalam tempoh masa penjajahan, Asia Tenggara merupakan wilayah yang terbahagi. Setiap negara tidak berminat untuk mengetahui dan menjalin hubungan dengan negara-negara jirannya. Tetapi, mereka memberikan pandangan yang luas kepada kuasa-kuasa besar di Barat seperti Britain, Amerika Syarikat, Belanda, dan Perancis yang dianggap maju dan dapat memberi contoh ikutan kepada mereka. Ini termasuklah juga negara Thailand. Walaupun negara tersebut tidak pernah dijajah, Thailand telah lama menjalinkan hubungan dengan negara-negara Barat melalui bidang perdagangan dan mereka sedikit sebanyak mempelajari ilmu-ilmu dari Barat dan terpengaruh dengan budayanya.

Perkara pertama yang membawa kepada perubahan politik di Asia Tenggara pada kurun ke-20 ialah Perang Dunia ke-2. Kedatangan gerombolan tentera Jepun telah meledakkan kubu-kubu penjajah Barat di Asia Tenggara di samping membawa semangat memerdekakan Asia daripada penjajah Barat. Pemerintahan Jepun di negara-negara Asia Tenggara walaupun hanya seketika, telah membenamkan perasaan sanjung tinggi dan penghormatan rakyat dan penduduk Asia Tenggara terhadap negara-negara Barat yang selama ini menjajah mereka.
Ini sekaligus membentuk semangat baru di kalangan penduduk negara-negara di Asia Tenggara untuk bangkit daripada tidur mereka bagi melakukan perubahan dan menentukan halatuju negara mereka. Para penduduk telah bangun menentang penjajah Barat untuk mendapatkan kemerdekaan dan merampas kembali kedaulatan dan ketuanan di tanahair mereka. Penentangan tersebut samada dalam bentuk damai ataupun dalam bentuk revolusi seperti Indonesia yang kemudiannya mempengaruhi Malaysia, Singapura, dan Brunei.

Manakala bagi Filipina pula, perubahan dari penjajahan kepada kemerdekaan melalui laluan dan liku-liku yang lebih sukar kerana menghadapi dua kuasa penjajah iaiatu Sepanyol dan Amerika. Filipina sebenarnya telah pun mendapatkan kemerdekaan daripada Sepanyol selepas berlakunya revolusi pada tahun 1896. revolusi ini kemudiannya membawa kepada kejayaan rakyat Filipina di mana pada 12 Jun 1898, General Emilio Aguinaldo telah mengisytiharkan Filipina sebagai sebuah nagara yang merdeka dan berdaulat.

Namun, dalam tahun yang sama juga Amerika Syarikat tealah menawan Filipina lantaran kemenangannya menewaskan Sepanyol dala Perang Sepanyol-Amerika. Rakyat Filipina sekali lagi berada dalam penjajahan untuk beberapa tahun. Kemudiannya, pada tahun 1936, Amerika telah menubuhkan satu persekutuan di Filipina bagi menyediakan negara ini untuk ditadbir sendiri oleh rakyatnya. Akhirnya setelah sepuluh tahun berikutnya iaiatu pada 4 Julai 1946, Amerika memberikan kemerdekaan kepada Filipina.

Malah negara Thailand juga turut sama berusaha dalam mengekalkan kedaulatannya khususnya dalam menghadapi ancaman Komunis dari China. Perkembangan Komunis di Indochina telah meletakkan Thailand dalam keadaan berjaga-jaga dan mendorongnya untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan negara-negara jirannya.

Setelah negara-negara tersebut memperoleh kemerdekaan, cabaran dan konflik masih terus berlaku. Walaupun konflik dan ketegangan tersebut berlaku secara dalaman di negara-negara yang baru sahaja mendapat kemerdekaan, ia telah mencetuskan situasi huru-hara yang membimbangkan. Episod konfrontasi Indonesia terhadap pembentukan Malaysia dan juga tuntutan Filipina ke atas Sabah telah mengeruhkan hubungan antara negara-negara di Asia Tenggara. Situasi dan ketegangan ini memberikan gambaran buruk kepada prospek kestabilan dan kerjasama serantau.

Tahun 1960 merupakan satu titik tolak kepada perubahan kepada negara-negara di Asia Tenggara. Dalam masa ketegangan Perang Dingin antara blok Kapitalis pimpinan Amerika dan Amerika dengan blok Komunis pimpinan Soviet Union dan Republik Rakyat China, negara-negara membangun yang tidak terlibat berusaha untuk membetuk satu kesepakatan dan kerjasama agar tidak diperalatkan dan menjadi mangsa konflik tersebut, sekaligus membentuk kewilayahan yang aman, bebas, dan stabil serta memebri manfaat kepada semua.

Terdapat beberapa usaha kerjasama di kalangan negara-negara di Asia yang telah dilaksanakan yang memberi inspirasi kepada penubuhan ASEAN seperti the Asian and Pasific Council atau ASPAC yang ditubuhkan pada tahun 1966 dengan matlamat untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial, dan budaya di kalangan negara-negara anggota iaitu Malaysia, Filipina, Thailand, Australia, Jepun, Taiwan, New Zealand, Vietnam Selatan, dan Korea Selatan. Namun, ASPAC akhirnya dibubarkan pada tahun 1975 dan kemudiannya ditubuhkan pula Asia Pasific Economic Forum atau APEC dengan membawa gagasan yang sama.

Dua pertubuhan lain yang turut menjadi inisiatif negara-negara Asia Tenggara dalam membina hubungan dan menjalin kerjasama ialah the Association of Southeast Asia atau ASA dan juga Maphilindo. Dua pertubuhan ini hanya dapat bertahan sekejap sahaja. Namun, kedua-duanya merupakan gagasan yang lebih spesifik untuk membawa kepada kerjasama serantau yang lebih efektif di peringkat Asia Tenggara.

ASA ditubuhkan pada tahun 1961 dan terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, Thailand, dan Filipina. Namun, kerjasama ini mencapai jalan buntu setelah berlaku perselisihan dan pertelingkahan antara negara-negara anggota. Antaranya ialah tuntutan Filipina ke atas Sabah yang menyertai gagasan Malaysia.

Kemudiannya pada tahun 1963, Presiden Macapagal mengusulkan idea penubuhan sebuah organisasi yang diberi nama Maphilindo yang merupakan singkatan kepada Malaysia, Philippines, dan Indonesia. Namun, konsep tersebut tidak dijalankan dengan jayanya akibat persengketaan antara negara-negara anggota khusunya Konfrontasi Indonesia dan Malaysia.

Menjelang tahun 1966, pelbagai faktor politik dan persekitaran di wilayah Asia Tenggara telah menguatkan lagi semangat untuk bersama-sama membentuk jalinan kerjasama. Pada tahun itu juga, Indonesia telah membuat perubahan drastik dengan gagasan Order Baru yang mengakhiri Konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia dan memulihkan hubungan antara kedua-dua negara tersebut.

Malaysia juga turut menyelesaikan permasalahan rusuhan kaum yang berlaku dengan memisahkan Singapura daripada Malaysia pada tahun 1965. perubahan kerajaan di Filipina telah membentuk hubungan baik antara Malaysia dan Filipina pada tahun 1966. Perkembangan positif ini dan juga peperangan di Vietnam telah menjadi faktor pendorong kepada pembentukan ASEAN.

Akhirnya pada 8 Ogos 1967, lima orang pemimpin iaitu Menteri-menteri Luar dari negara Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand telah duduk semeja di dewan besar Jabatan Hal-Ehwal Luar Negera Thailand di Bangkok dan menandatangani satu dokumen yang dikenali sebagai Deklarasi Bangkok dan kini dikenali seebagai Deklarasi ASEAN. Berasaskan kepada perjanjian tersebutlah, ASEAN atau the Association of Southeast Asian Nations ditubuhkan.

Lima orang Menteri-menteri Luar tersebut yang menandatangani perjanjian itu ialah Adam Malik dari Indonesia, Narciso R. Ramos dari Filipina, Tun Abdul Razak dari Malaysia, S. Rajaratnam dari Singapura, dan Thanat Khoman dari Thailand.

Kelima-lima mereka ini dianggap sebagai Bapa Pengasas ASEAN yang merupakan sebuah organisasi antara kerajaan yang paling berjaya di kalangan negara-negara membangun. Dokumen yang telah mereka tandatangani tersebut dikenali sebagai Deklarasi ASEAN atau ASEAN Declaration.

Dokumen perjanjian tersebut hanyalah berupa lima artikel pendek dan ringkas. Perjanjian ini mengisytiharkan penubuhan satu pertubuhan bagi kerjasama serantau di kalangan negara-negara di Asia Tenggara yang dikenali sebagai the Associatio of Sotheast Asian Nations (ASEAN). Ia juga turut menyebutkan tentang tujuan dan matlamat pertubuhan tersebut.

Tujuan dan matlamat tersebut meliputi kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial, budaya, teknikal, pendidikan, dan sebagainya, di samping itu, pertubuhan ini juga turut mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau dengan mematuhi dan menghormati keadilan dan undang-undang dan mematuhi prinsip-prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Bagi mencapai tujuan, dasar, dan matlamat penubuhan ASEAN, perjanjian tersebut juga menetapkan bahawa pertubuhan ASEAN ini akan dibuka penyertaannya kepada semua negara-negara di kewilayahan Asia Tenggara.

Perjanjian ini juga menyatakan kedudukan ASEAN sebagai mewakili kehendak kolektif bagi negara-negara di Asia Tenggara untuk diikat bersama atas dasar setiakawan dan kerjasama, di samping melalui usahasama dan pengorbanan untuk menjamin dan memastikan keselamatan rakyat dan keturunan mereka, keamanan, kebebasan dan kemakmuran negara.

Peristiwa ini berlaku ketikamana Thailand telah bertindak menjadi pengantara perdamaian terhadap perselisihan dan konfrontasi yang berlaku antara Indonesia, Filipina, dan Malaysia. Ia merupakan titik tolak yang membawa kepada kerjasama serantau bagi menghadapi masa hadapan wilayah Asia Tenggara yang tidak menentu.

Thanat Khoman, Menteri Luar Thailand pada ketika itu menyatakan bahawa bagi mendamaikan antara tiga pihak yang berselisih itu, beliau telah mengusulkan idea pembentukan sebuah organisasi yang lain kepada Adam Malik, Menteri Luar Indonesia. Adam Malik menyetujuinya tanpa ragu, namun beliau meminta sedikit masa untuk membincangkannya dengan kerajaan Indonesia di samping memulihkan kembali hubungan dengan Malaysia setelah tamatnya konfronrasi.

Pada masa yang sama, Pejabat Menteri Luar Thailand telah menyediakan draf piagam bagi pertubuhan baru itu. Dalam tempoh masa beberapa bulan, kesemuanya telah siap sedia. Thanat Khoman kemudiannya menjemput dua bekas anggota the Association for Southeast Asia (ASA) iaitu Malaysia dan Filipina, serta Indonesia untuk bertemu dalam satu mesyuarat di Bangkok.

Singapura kemudiannya menunjukkan minat untuk menyertai pertubuhan yang bakal ditubuhkan itu, lalu menghantar Menteri Luar Singapura, S. Rajaratnam untuk bertemu Thanat Khoman. Walaupun cadangan asal penubuhan organisasi baru ini hanyalah untuk anggota-anggota lama ASA sahaja dan juga Indonesia, namun permohonan Singapura itu dipertimbangkan dan diterima dengan penuh terbuka.

Maka dengan itu, pada awal bulan Ogos 1967, lima orang Menteri Luar telah menghabiskan masa selama empat hari di sebuah pusat peranginan terpencil di Bang Saen, sebuah bandar pesisir pantai yang terletak kurang 100 kilometer dari tengara Bangkok.

Di sana, mereka berunding dan berbincang mengenai dokumen yang telah disediakan dalam cara yang kurang formal dan santai. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu proses yang mudah. Setiap pihak memberi pertimbangan dalam perspektif sejarah dan politik yang tidak menemukan titik persamaan antara satu sama lain. Namun dengan niat dan semangat yang baik dan jitu, mereka dapat duduk semeja dan berjabat tangan sesama mereka. Mereka membuang segala perbezaan dan perselisihan serta berdiri sebaris bersama-sama menghayun kayu golf dan bermesra menjalin hubungan yang harmoni antara mereka hingga kemudiannya membentuk satu gaya pertimbangan yang menjadi tradisi ASEAN sehingga ke hari ini.

Dengan ketegasan dan fokus yang tinggi dalam perundingan di samping suasana Bang Saen yang penuh damai dan santai, mereka telah menandatangani perjanjian tersebut yang dikenali sebagai Deklarasi Bangkok atau Deklarasi ASEAN.

Orang pertama yang mula menyampaikan ucapan ialah Setiausaha Hal-ehwal Luar Filipina, Narciso Ramos. Beliau merupakan bekas seorang wartawan dan penggubal undang-undang yang telah melepaskan peluangnya untuk menjadi Speaker Kongres Filipina bagi menjadi salah seorang daripada diplomat negaranya yang pertama. Beliau pada ketika itu berumur 66 tahun, sementara anak tunggalnya, Fidel V. Ramos (yang kemudiannya menjadi Presiden Filipina), pada masa itu telah berkhidmat dalam Kumpulan Tindakan Sivik Filipina untuk berperang dengan Vietnam.

Narciso Ramos mengingatkan kembali suasana dingin ketika perundingan yang telah berlangsung yang kemudiannya membawa mereka untuk menandatangani deklarasi tersebut dan menyatakan bahawa ia merupakan satu usaha yang mengerah niat yang baik, imaginasi berwawasan, kesabaran, dan persefahaman di antara lima menteri yang terbabit.

ASEAN ditubuhkan dengan jayanya setelah mengharungi segala kesukaran dan rintangan tersebut. Narciso Ramos menyatakan kepada para diplomat, pegawai, dan media yang hadir menyaksikan majlis penandatangan perjanjian tersebut bahawa perasaan yang memuncak telah mendesak menteri-menteri tersebut untuk menghadapi segala masalah tersebut. Beliau juga menerangkan bahwa kekuatan kelangsungan hidup bagi negara-negara di Asia Tenggara telah mulai tersedia dan tersusun.

Ekonomi Asia Tenggara yang pada masa dahulu hanya bersifat individu dan berasingan antara satu sama lain telah mula menganjakkan langkahnya kepada objektif yang lebih luas dengan perkongsian secara pintar dan multilateral. Jika pada masa dahulu negara-negara di Asia tenggara hanya mengejar matlamat dan objektif negara masing-masing yang terhad dan hanya mempunyai sumber dalam negara yang terbatas di samping bergantung tinggi kepada negara-negara maju. Kini negara-negara Asia Tenggara dapat saling lengkap-melengkapi dan saling berusaha keras bersama-sama mengatasi kelemahan dan berkongsi pengalaman dan kekayaan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan sosial agar menjadi sebuah rantau yang membangun dengan kekuatan sendiri. Dengan demikian, ASEAN akan dapat mengemudi dan mengawal potensi wilayah yang kaya dengan hasil bumi ini dengan tindakan yang lebih padu dan lebih besar.

Apabila tiba giliran Adam Malik, Menteri Hal Ehwal Politik dan Menteri Hal Ehwal Luar Indonesia untuk berucap, beliau telah mengingatkan kepada hadirin ketika satu tahun yang lalu di Bangkok ketika sesi perbincangan antara Indonesia dan Malaysia, di mana beliau telah menyatakan cadangannya untuk menubuhkan sebuah pertubuhan seumpama ASEAN yang dianggotai bersama oleh Indonesia, Malaysia, dan Thailand.

Adam Malik lahir di Pematang Siantar pada tahun 1917 dan meninggal pada tahun 1984 di Bandung. Beliau merupakan salah seorang pemuda Indonesia yang telah berjuang untuk memperoleh kemerdekaan negaranya dua dekad sebelum itu. Beliau pada masa penubuhan ASEAN tersebut berumur 50 tahun dan merupakan salah seorang menteri di bawah kepimpinan Presiden Soeharto yang mengepalai Indonesia daripada kegawatan ekonomi dan kekacauan politik.

Ketika Presiden Sukarno melancarkan perang ke atas Malaysia dengan slogan 'Ganyang Malaysia', Adam Malik selaku Menteri Luar Indonesia merupakan menteri penting di Indonesia yang memainkan peranan dalam membantu memulihkan hubungan dengan negara-negara jirannya yang keruh akibat polisi konfrontasi.

Beliau telah berjaya menyelesaikan sengketa antara serumpun tersebut dengan jayanya sehinggalah termeterainya perjanjian di Bangkok ini yang membawa kepada perdamaian dan kesatuan antara negara-negara yang bertelagah ini. Adam Malik mempunyai ramai saudara mara di Chemor, Perak. Lantaran itu rasa ikatan kekeluargaan cukup kuat sehingga berusaha keras mendamaikan antara Indonesia dan Malaysia.

Adam Malik kemudiannya pernah menjadi Naib Presiden Indonesia pada tahun 1978 sehingga tahun 1983. Beliau menyatakan bahawa para menteri-menteri luar yang hadir dalam pertemuan tersebut telah berusaha bersama-sama bagi meralisasikan idea penubuhan ASEAN dan menjadikan keadaan dari tegang kepada tenang dalam rangka membina satu gagasan pertubuhan baru dan kerjasama serantau.

Adam Malik juga turut menjelaskan visi Indonesia terhadap pembangunan Asia Tenggara sebagai suatu wilayah yang mampu berdiri di atas kakinya sendiri, mampu mempertahankan dirinya sendiri daripada segala pengaruh negatif yang datang dari luar. Hasrat ini bukanlah suatu yang mudah untuk dijelmakan melainkan jika sekiranya negara-negara di rantau ini saling bekerjasama secara berkesan antara satu sama lain dengan cara memastikan sumber alam dan sumber manusia dapat disatukan dan diguna bersama dalam satu kewilayahan.

Beliau juga turut menegaskan bahawa walaupun terdapat pandangan yang berbeza antara satu negara dengan negara yang lain, namun perbezaan tersebut akan dapat diatasi melalui niat dan tujuan yang murni serta persefahaman dan kepercayaan yang jitu. Bahkan ia juga memerlukan usaha keras, kesabaran, dan ketekunan.

Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu kemudiannya menyampaikan ucapannya. Beliau berkata bahawa negara-negara di Asia Tenggara harus sedia memikul tanggungjawab terhadap apa jua perkara yang berlaku. Beliau menyatakan visinya bahawa ASEAN akan disertai oleh semua negara-negara di Asia Tenggara dan menjadi organisasi tunggal yang mewakili negara-negara di kewilayahan ini.

Tun Abdul Razak yang juga merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Pembangunan Negara telah memainkan peranan besar dalam membentuk hubungan baik Malaysia dengan negara-negara jiran. Beliau menegaskan bahawa jika sekiranya negara-negara di Asia Tenggara tidak membentuk halatujunya sendiri dan tidak mencegah campurtangan kuasa luar, maka selagi itulah kita akan terus ditekan, ditindas, dan diancam.

Bahkan juga jika sekiranya kita tidak mengambil tindakan dan langkah yang kolektif dan bersatu padu bagi mencegah konflik dalaman Asia Tenggara, maka selagi itulah kita akan terdedah dengan manipulasi dan campurtangan kuasa luar yang sentiasa mengambil kesempatan ke atas kita.

Tun Abdul Razak menegaskan bahawa kita sebagai negara dan rakyat Asia Tenggara mesti bersatu hati dan membentuk sendiri satu perspektif baru serta satu kerangka baru bagi kewilayahan kita. Ia merupakan satu perkara yang penting bagi membentuk kesedaran yang mendalam bahawa kita selama-lamanya tidak akan dapat hidup secara bebas dan bersendirian melainkan bahawa kita juga mesti memikirkan dan bertindak bersama-sama sebagai satu unit keluarga negara-negara Asia Tenggara dan menghubungkan ikatan setiakawan dan janji agar dapat merealisasikan idea dan aspirasi penduduk-penduduk Asia Tenggara mengikut matlamat dan cara yang kita bentuk sendiri. Dengan itu, penubuhan ASEAN ini dilihat oleh Tun Abdul Razak sebagai satu batu loncatan ke arah mencapai hasrat dan cita-cita tersebut.

Ucapan beliau ini kemudian disusuli pula dengan ucapan oleh Menteri Kebudayaan Singapura, S. Rajaratnam. Beliau pada ketika itu juga bertindak sebagai Menteri Luar Singapuran yang pertama. S. Rajaratnam menjelaskan bahawa dua dekad di mana rakyat Asia Tenggara hidup dalam semangat nasionalis yang tinggi ternyata tidak memberikan apa-apa kemajuan kepada kehidupan mereka. Jika ASEAN ini berjaya, maka negara-negara anggotanya harus menggabungjalinkan pemikiran nasionalis atau individualis dengan pemikiran kewilayahan atau kolektif.

Kita tidak boleh hanya memikirkan tentang kepentingan dan keperluan negara kita sendiri sahaja, bahkan kita juga perlu memikirkan tentang kepentingan dan keperluan negara-negara jiran serantau. Ia merupakan satu bentuk cara pemikiran baru yang dapat menyelesaikan banyak masalah dan perkara walaupun pada sesetengah keadaan berlaku percanggahan di antara kepentingan negara dan kepentingan kewilayahan.

Kita juga harus menerima hakikat bahawa jika kita benar-benar nekad tentang kerjasama serantau ini, maka kita mesti benar-benar sanggup menghadapi dan membuat keputusan dalam mempertimbangkan antara kepentingan negara dan juga kepentingan bersama dalam konteks wilayah Asia Tenggara. Jika tidak, maka cita-cita ASEAN ini hanya tinggal cita-cita semata-mata.

S. Rajaratnam menyatakan kebimbangannya bahawa ASEAN mungkin akan disalah anggap oleh sesetengah negara luar khususnya kuasa besar bahawa ASEAN ditubuhkan sebagai satu usaha untuk membentuk satu kuasa bersama yang ingin mencabar dan menentang mereka. Beliau menjelaskan bahawa kita tidak menentang sesiapapun. Apa yang jelas ialah bahawa matlamat kita ialah ingin membentuk satu kewilayahan yang bebas dan kukuh dengan cara kita sendiri tanpa campurtangan dan pengaruh daripada luar.

Misi ASEAN bukannya mahu membentuk satu kapitalis besar di Asia Tenggara yang memonopoli, mengaut untung dan menindas mereka yang lemah sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara kuasa besar. Tetapi, matlamat utama ASEAN adalah agar segala kekayaan dan kemakmuran di rantau Asia Tengara ini dapat dikongsi bersama oleh negara-negara lain yang besar dan kecil, yang maju dan mundur dengan cara berusaha bersama-sama membentuk kemajuan, keamanan, dan kestabilan serta saling bantu membantu antara satu sama lain.

Thanat Khoman, Menteri Luar Thailand kemudiannya memberikan ucapannya. Beliau menegaskan bahawa tujuan ASEAN bukanlah untuk meruntuhkan, bahkan sebenarnya untuk membina pembangunan yang seimbang dan saksama. Pada masa ketika konflik Vietnam memuncak dan tentera Amerika kelihatan akan bekubu selama-lamanya di Indochina, Thanat Khoman meramalkan bahawa Amerika pada satu masa nanti akan menarik keluar tenteranya dari Indochina. Beliau juga berusaha untuk mengubahsuai dasar luar Thailand supaya sesuai dengan realiti semasa dan usaha ini nampaknya mula membuahkan hasil satu dekad selepas itu.
Thanat Khoman menegaskan bahawa negara-negara di Asia Tenggara tidak mempunyai pilihan melainkan untuk mengubah keadaan darurat pada ketika itu kepada kerjasama yang lebih rapat dan juga integrasi yang lebih kukuh. Beliau juga turut menjelaskan kembali bahawa objektif penubuhan ASEAN adalah sebagai suatu usaha untuk membina satu komuniti dan masyarakat baru yang bersikap responsif kepada keperluan-keperluan semasa dan juga bersiap sedia secara efisyen untuk menghasilkan kejayaan dan kemajuan material serta spiritual kepada rakyat dan juga negara.

Secara khususnya, apa yang penduduk Asia Tenggara ini mahukan ialah untuk menghapuskan konsep dominasi yang kolot dan jumud serta menggantikannya dengan semangat baru melalui konsep memberi dan menerima juga konsep persamaan dan perkongsian. Lebih daripada itu, mereka mahu menjadi tuan kepada rumah mereka sendiri dan menikmati hak mutlak untuk menentukan matlamat mereka sendiri.

Ketikamana negara-negara Asia Tenggara berusaha untuk mendapatkan kebebasan dan kedaulatan mereka, mereka pertama sekali mestilah membebaskan diri mereka daripada cabaran kejahilan, penyakit, dan kelaparan. Setiap daripada negara-negara ini tidak dapat menyempurnakan misi tersebut secara bersendirian, tetapi hendaklah dengan berusaha dan bekerja bersama-sama dengan negara-negara lain yang mempunyai aspirasi dan matlamat yang sama. Maka dengan demikian itu, objektif-objektif tersebut akan lebih mudah untuk dicapai.

Thanat Khoman menyimpulkan bahawa apa yang telah kita putuskan pada hari ini hanyalah satu permulaan yang kecil terhadap apa yang kita harapkan agar menjadi satu kesinambungan pencapaian yang panjang dan berterusan yang akan dapat dibanggakan oleh diri kita sendiri, dan juga negara-negara lain yang akan menyertai kita pada kemudian hari serta generasi selepas kita.
Maka dengan itu, hendaklah kita berusaha untuk Asia Tenggara, sebuah kewilayahan yang kaya dengan potensi, kaya dengan sejarah, dan juga kaya dengan sumber material. Moga dengan usaha murni ini, ia akan menjadi satu sinar inspirasi, dan kebanggaan kepada seluruh penduduk di benua Asia khususnya.

Menteri Luar Thailand itu menutup sesi ucapan ASEAN tersebut dengan mengahadiahkan kepada rakan sejawatnya degan satu cenderamata. Pada cenderamata tersebut tertulis, "In recognition of services rendered by His Excellency Adam Malik to the ASEAN organization, the name of which was suggested by him" (Menghargai khidmat bakti yang disumbangkan oleh Adam Malik kepada ASEAN, nama yang dicadangkannya).

Begitulah bagaimana ASEAN yang diharap-harapkan, dinamakan, dan dilahirkan selepas 14 bulan Thanat Khoman mengusulkan idea penubuhan ASEAN ketika perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia dan Indonesia. Dalam masa sekitar tiga minggu kemudiannya, Indonesia mula membentuk hubungan diplomatik dengan Malaysia dan kemudiannya Singapura.

Walau bagaimanapun, perselisihan dan pertelingkahan tetap berlaku setelah penubuhan ASEAN. Filipina dan Malaysia telah berselisih tentang hak pemilikan terhadap Sabah. Malah banyak lagi isu-isu lain yang terus berlaku sepanjang masa sehingga ke hari ini. Namun, dengan semangat setiakawan, perdamaian dan perpaduan, negara-negara ASEAN tetap komited untuk menyelesaikan perselisihan mereka dengan cara yang aman dan bijaksana. Memang peselisihan tidak dapat dielakkan, namun ia tidak seharusnya dipanjangkan sehingga mencetuskan keadaan yang tidak diingini. Tugas utama yang sepatutnya dilakukan ialah membuat kerangkakerja tentang dialog dan kerjasama serantau.

Dua muka surat Deklarasi Bangkok bukan sahaja mengandungi rasional penubuhan ASEAN dan juga objektif-objektif khususnya. Ia juga turut mewakili modus operandi pertubuhan ini dalam membina langkah kecil, kerelaan, dan penyusunan secara tidak formal ke arah perjanjian yang lebih kukuh dan mapan dalam bentuk perlembagaan.

Kesemua negara-negara anggota yang mengasaskan ASEAN ini telah mengorak langkah dengan semangat daripada Deklarasi Bangkok ini. Tahun demi tahun, ASEAN secara progresfinya telah menjana pelbagai perjanjian dan kerjasama secara rasmi seperti Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara) yang dimeterai pada tahun 1976 dan juga Treaty on the Southeast Asia Nuclear Weapon-Free Zone (Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara) pada tahun 1995.

Berasaskan kepada konflik di Indoshina, para menteri pengasas ASEAN ini membentuk wawasan ke arah pembentukan satu komuniti bagi seluruh negara-negara di Asia Tenggara. Oleh yang demikian, Deklarasi Bangkok mewarwarkan bahawa penyertaan ke dalam pertubuhan ini adalah terbuka kepada semua negara-negara di Asia Tenggara yang ingin turut sama menyumbang bagi mencapai matlamat, prinsip, dan hasrat yang telah digariskan. Pandangan inklusif ASEAN telah membuka jalan kepada pembinaan komuniti bukan sahaja di Asia Tenggara, bahkan juga menjangkaui kewilayahan Asia Pasifik yang menyaksikan beberapa pertubuhan antara kerajaan dapat bergerak dan hidup bersama.

Tiada ulasan:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP