.

.

Jumaat, 26 Mac 2010

Falsafah Menurut al-Farabi

Al-Farabi menyatakan bahawa falsafah atau ilmu ini, yang merupakan asas kepada kesempurnaan dan kebahagiaan tertinggi bagi manusia adalah berasal dari kalangan kelompok Chaldeans, penduduk awal Mesopotamia. Ilmu ini kemudiannya tersebar ke Mesir; dan dari Mesir terus kepada bangsa Greek; dari Greek ia terus kepada orang-orang Syria dan kemudiannya kepada bangsa Arab.

Adalah tidak sukar untuk mengandaikan bahawa al-Farabi menganggap falsafah sebagai suatu yang boleh mereput dan pupus. Kerana itulah beliau berharap agar dapat menghidupkan semula ilmu ini dan mengembalikannya ke tempat asal lahirnya ilmu ini. Beliau menganggap falsafah sebagai suatu yang sangat penting untuk kebaikan masyarakat, walaupun sesebuah masyarakat itu ditadbir oleh undang-undang wahyu.

Al-Farabi menyatakan dalam Madinah Fadilah: “Falsafah sepatutnya terasing daripada kerajaan, sungguhpun setiap kelayakan lain untuk memerintah mungkin boleh ditunjukkan, negara yang baik ialah yang kurang bilangan pemimpinnya, pemimpin negara yang sebenarnya bukannya (bersifat seperti) raja yang sebenar dan (jika sebaliknya) negara akan menemui kehancuran; dan jika tiada orang yang bijak yang membantu pemimpin negara, maka kemudiannya selepas suatu tempoh masa, negara itu akan musnah.”

Akan tetapi, pembaharuan falsafah dalam masyarakat muslim pada masa itu bukanlah suatu usaha yang mudah dan selamat kerana falsafah merupakan ancaman yang serius kepada kepercayaan asas Islam. Para ahli falsafah dianggap sebagai kafir, buku-buku mereka kadang kalanya dibakar, dan hidup mereka sentiasa terancam. Kita sedia maklum bahawa al-Farabi sendiri pun telah mencari perlindungan di istana Sayf al-Dawlah, seorang penaung ilmu. Ahli falsafah di Barat (Sepanyol) menerima layanan yang lebih buruk lagi dari mereka yang berada di Timur. Dalam muqaddimah koleksi perbahasan falsafah oleh Ibn Bajjah, Abu Hasan b. Ali b. al-Imam, seorang pengikut Ibn Bajjah menulis bahawa kebanyakan ulama yang mengkaji ilmu-ilmu terdahulu tidak berani untuk menulis idea-idea mereka, samada kerana takut kepada bahaya yang akan menimpa mereka, ataupun mereka gagal untuk memahami maksud sebenar ahli-ahli falsafah tersebut. Oleh yang demikian, mereka beralih kepada ilmu-ilmu yang dibenarkan oleh kerajaan. Ibn Tufayl menyalahkan Ibn Bajjah kerana memendekkan subjek falsafah yang dibincangkannya. Kita juga dapat mengetahui dari Ibn Rushd iaitu ketika Abu Ya’qub (Amir al-Mu’minin di Sepanyol) telah bertanya kepadanya ‘apakah yang ahli falsafah fikirkan mengenai syurga’, maka Ibnu Rushd dengan penuh rasa takut dan ragu-ragu, cuba untuk menyelamatkan diri dan menafikan dirinya ada kaitan dengan falsafah.

Rujukan:

Fauzi M. Najjar. Political Philosophy in Islam

Tiada ulasan:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP