.

.

Isnin, 26 April 2010

DUALISME

Perkataan dualisme atau dualism dalam bahasa Inggeris berasal daripada bahasa Latin dan merupakan cantuman daripada perkataan duo atau dualis dengan perkataan isma atau ismus. Duo memberi erti dua, manakala ismus berperanan membentuk kata nama bagi sesuatu kata kerja. Oleh itu dualisme ialah suatu keadaan yang berbentuk keduaan atau suatu konsep atau teori yang berdasarkan kepada dua prinsip atau asas yang berlainan dan bertentangan.[1] Dalam bahasa Arab, istilah ithnāiyah dan thunāiyah digunakan untuk merujuk kepada dualisme.[2] Istilah-istilah lain yang turut memberi maksud yang sama ialah perkataan Inggeris duality dan dichotomy.

Jelasnya, dualisme adalah suatu konsep berhubung kewujudan dua elemen yang berbeza pada sesuatu benda atau perkara. Dualisme adalah berlawanan dengan monoisme (keesaan) dan pluralisme (kepelbagaian).[3] Asal usul dualisme terkandung dalam pandangan hidup tentang alam serta nilai-nilai yang membentuk budaya dan tamadun. Dualisme ini wujud dalam keadaan di mana kedua-dua unsur atau elemennya saling bertentangan.[4]

Dalam teologi, dualisme merujuk kepada kepercayaan wujudnya dua kuasa atau Tuhan yang saling bertentangan. Di samping itu, ia juga merujuk kepada pertentangan antara ruh dan benda, jasad dan fikiran, baik dan jahat, dosa dan pahala, syurga dan neraka, agama dan dunia, rohani dan jasmani, dan sebagainya. Dalam falsafah pula, kegunaan dua prinsip atau elemen dualisme adalah untuk memahami, menganalisa, dan menghurai proses mengetahui (epistemologi) atau untuk menjelaskan hakikat beberapa aspek berhubung dengannya (metafizik).[5]

Konsep dualisme telah berkembang dan menguasai falsafah metafizik sejak zaman Greek sehinggalah ke zaman moden. Antara contoh teori dualisme dalam metafizik ialah dualisme ontologi antara dunia phenomenal (yang dapat ditanggapi oleh indera) dan dunia noumenal (yang tidak dapat dicapai oleh pengalaman), juga dualisme epistemologi antara sifat pasif deria (passivity of sensation) dan pemahaman secara spontan (spontaneity of the understanding).[6] Istilah-istilah seperti sacred (kudus) dan profane (duniawi), religious (keagamaan) dan secular (terpisah dari norma-norma agama), natural (semulajadi) dan supernatural (di luar kejadian biasa), subjek dan benda (matter) merupakan antara istilah yang sering merujuk kepada fahaman dualisme.[7]

Dualisme jelasnya merupakan suatu konsep dan falsafah bahawa setiap perkara terjadi daripada dua unsur yang setimbal dan saling berlawanan antara satu sama lain.



[1] Emergy, H.G. & Brewster, K.G. (pnyt.), The new century dictionary, D. Appleton-century Company, London, 1938, Jil. 1, hlm. 464; Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1970, hlm. 249.

[2] Al-Baclabaki, al-Mawrid, Dār al-‘Ilm lil Malāyīn, Beirut, 1996, hlm. 296.

[3] The Columbia encyclopaedia, Columbia University Press, New York, 1963, Jil. 2, hlm. 598.

[4] Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Preliminary thoughts on the nature of knowledge and the definition and aims of education, Kertas kerja Persidangan Pendidikan Islam Sedunia Kali Pertama, Mekah, 31 Mac-8 April 1977, hlm. 2.

[5] The new Britannica encyclopaedia, Encyclopaedia Britannica Inc., Chicago, Jil.4, 1998, hlm. 245.

[6] Columbia encyclopaedia, hlm. 598-599.

[7] The new Britannica encyclopaedia, hlm. 246.

Tiada ulasan:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP