.

.

Selasa, 13 Julai 2010

Falsafah Akhlak Socrates

*perbincangan di sini adalah dalam skop falsafah Greek. Diharap pembaca yang tidak mempunyai asas dalam ilmu falsafah, tidak terkeliru dengan ilmu ahklak Islam atau dalam agama/falsafah lain.

Pemikiran falsafah etika Socrates dapat kita perhatikan di dalam dialog yang dihimpun dan ditulis oleh Plato iaitu Crito. Dialog ini memberikan kita jawapan dan huraian lengkap terhadap penghujahan Socrates dalam mencapai hakikat moral.

Socrates mulanya memberikan beberapa perkara penting berkaitan pendekatan yang perlu diambil. Untuk memulakannya kata Socrates, kita hendaklah jangan membiarkan keputusan kita ditentukan oleh emosi kita. Kita mestilah memeriksa persoalan dan mengikut hujah yang terbaik. Kita mesti cuba mendapatkan fakta yang benar dan memastikan minda kita jelas. Hal ini dapat diselesaikan dengan menggunakan akal.[1]

Keduanya, kita tidak boleh menjawab persoalan tersebut berdasarkan apa yang biasa difikirkan oleh orang ramai. Mereka mungkin tersilap. Kita mesti cuba berfikir sendiri.[2]

Akhirnya, kita sepatutnya tidak melakukan apa yang secara moralnya adalah salah. Persoalan yang kita perlu jawab ialah adakah sesuatu perbuatan itu baik atau salah, bukannya apa yang akan berlaku kepada kita, apa yang orang akan kata kepada kita, atau bagaimana kita rasa tentang apa yang telah berlaku.[3]

Socrates cuba untuk memberikan tiga rangkap penghujahan bagi menunjukkan bahawa beliau seharusnya tidak melanggar undang-undang dengan melarikan diri dari hukuman yang telah dikenakan ke atasnya. Pertamanya ialah kita tidak boleh menyinggung sesiapa. Jika Socrates melarikan diri, maka ini akan menyinggung (menghina) negara kerana beliau melanggar undang-undang negara. Keduanya ialah apabila sesorang tinggal di sesebuah negara, maka dia mestilah bersedia untuk mematuhi undang-undang negara itu. Jika Socrates melarikan diri, maka beliau telah melanggar perjanjian sebagai rakyat negara Greek tersebut. Ketiganya ialah masyarakat dan negara itu umpama ibu bapa dan guru yang perlu dipatuhi.[4]

Daripada ketiga-tiga penghujahan ini, maka Socrates dan sahabatnya Crito membuat kesimpulan bahawa[5]:

1. Kita tidak boleh menyinggung sesiapa.

2. Kita mesti menepati perjanjian.

3. Kita mesti menghormati ibu bapa dan guru.

Bentuk penghujahan moral ini menentukan apa yang patut dilakukan oleh seseorang dalam keadaan tertentu dengan merujuk kepada prinsip-prinsip umum atau undang-undang tertentu yang diambil sebagai premis untuk dideduksikan kepada suatu kesimpulan melalui kaedah qiyas atau syllogism.

Socrates telah bangun menentang dan mengkritik fahaman Sofis dengan berasaskan prinsip kebenaran ilmu pengetahuan. Beliau cuba mengharmonikan antara akal (reason) dan perasaan dan emosi manusia. Socrates tidak menafikan kepentingan budi atau kebajikan (virtue), tetapi beliau memberika tafsiran yang lebih luas terhadapnya iaitu sebagai kemampuan untuk mencapai kepakaran dalam pembangunan intelektual.[6]

Bagi Socrates, pengetahuan merupakan suatu yang penting. Manakala budi pula bukannya suatu yang diturunkan dari Tuhan, tetapi ia merupakan suatu pengetahuan semulajadi yang rasional tentang apa yang benar-benar baik, dan yang membolehkan manusia hidup tanpa menindas orang lain dan melayan mereka dengan adil, serta membolehkannya memberi khidmat kepada masyarakat dan bukan hanya untuk dirinya sendiri. Tanpa budi, masyarakat itu tidak wujud.[7]

Menurut Socrates, jiwa merupakan intipati bagi manusia. Oleh yang demkian, manusia wajib mengutamakan kebahagiaan jiwanya (eudaimonia) lebih daripada kebahagiaan jasad atau tubuh badannya dan juga kebahagiaan material yang lain seperti kekayaan dan sebagainya. Ini kerana kehidupan tanpa kebahagiaan tidak ada ertinya. Yang menjadi persoalan ialah bagaimana caranya untuk mencapai kebahagiaan.[8]

Socrates berpendapat bahawa alat untuk mencapai kebahagiaan ialah kebaikan (virtue) dan keutamaan (arĂȘte). Bagi Socrates, keutamaan itu adalah ilmu pengetahuan. Kehidupan yang baik ialah mempraktikkan ilmu pengetahuan tentang kehidupan yang baik. Baik dan jahat itu, kata Socrates disandarkan kepada ilmu pengetahuan, bukannya dengan kemahuan manusia. Berdasarkan asas ini, tidak mungkin sesorang itu dengan sengaja melakukan suatu kesalahan. Seseorang itu melakukan kesalahan kerana dia keliru dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan.[9]

Oleh yang demikian, kebaikan dan keutamaan adalah pengetahuan tentang perkara atau perbuatan yang baik. Memiliki suatu kebaikan bermakna memiliki keseluruhan kebaikan. Orang yang berani, sudah tentu ia juga adil dan jujur. Jika tidak, maka dia tidak memiliki kebaikan yang sejati. Memiliki kebaikan bermakna memiliki kesempurnaan sebagai manusia.[10]



[1] Frankena, Ethics, Prentice-Hall Inc, Englewood Cliff, New Jersey, hlm. 2.

[2] ibid.

[3] ibid.

[4] ibid.

[5] ibid.

[6] Kropotkin, Ethics: origin and development. Terj. Louis S. Friedland & Joseph R. Piroshnikoff, hlm. 90.

[7] ibid.

[8] Harun Hadiwijono, Sari sejarah filsafat Barat 1, Penerbit Kanisisus, Yogyakarta, 1980, hlm. 36-37.

[9] ibid., hlm. 37.

[10] ibid.

1 ulasan:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP