.

.

Selasa, 1 Mac 2011

Kepercayaan kepada Tuhan

Prinsip pertama Rukunegara iaitu ’Kepercayaan kepada Tuhan’ adalah prinsip yang menjadi teras kepada pembangunan insan, masyarakat, dan negara merangkumi peningkatan kualiti jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Asas inilah yang menjadi pendorong kuat kepada kejayaan dan kecemerlangan manusia dalam kehidupannya. Oleh yang demikian, keimanan kepada Tuhan menjadi ikrar pertama yang dipilih dalam prinsip negara ini dan merupakan jiwa dan ruh kepada Rukunegara.

Kerajaan pada asasnya melihat prinsip kepercayaan kepada Tuhan sebagai modal penyatuan, kerjasama, toleransi, dan hormat menghormati antara satu sama lain. Berdasarkan kepada kenyataan bahawa ajaran setiap agama yang menyuruh penganutnya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, maka prinsip ini sudah tentu menjadi nadi penting yang membina jatidiri masyakat Malaysia dari lubuk sanubarinya. Dengan percaya kepada Tuhan, masyarakat akan diingatkan dengan ajaran-ajaran agama dan memupuk diri berlaku baik dan membina kerjasama ke arah perpaduan atas asas bahawa setiap manusia yang mengikut fitrah pasti akan beriman kepada Tuhan yang menjadikannya. (Ahmad Marzuki 2008: 13-14)

Islam merupakan agama rasmi bagi Malaysia sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, agama selain daripada Islam bebas untuk diamalkan di negara ini. Bahagian 1 Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan bahawa:

Ugama Islam ialah ugama bagi persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Keterangan dari Perlembangan Persekutuan ini membawa maksud bahawa Islam adalah agama rasmi bagi negara ini, namun agama-agama selian daripada Islam dibenarkan untuk dipraktikkan oleh kaum-kaum lain di negara ini mengikut kepercayaan masing-masing. Di samping itu, tiada diskriminasi dikenakan kepada mana-mana anggota masyarakat atas sebab kepercayaan agama mereka.

Kebebasan beragama yang diamalkan di negara ini amat selari dengan tuntutan Islam itu sendiri yang tidak memaksa mana-mana individu untuk memeluk Islam melainkan dengan kerelaan dirinya sendiri, juga tuntutan supaya menghormati agama yang dianuti oleh orang lain dan haknya untuk mengamalkannya. Namun, Islam menuntut umatnya supaya berdakwah dengan cara yang berhikmah dan bijaksana serta berinteraksi dengan cara yang paling baik dan sopan.

Di samping itu, menurut prinsip ini juga, negara Malaysia tidak mengakui ilhad atau atheisme dan sebarang idelogi yang tidak mempercayai wujudnya Tuhan. Ini kerana fahaman dan sikap sedemikian merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan tabii seorang manusia yang merupakan ciptaan Tuhan, malah terpesong dari landasan fitrah dan hati nurani seorang manusia.

Pihak yang tidak mengakui kewujudan Tuhan merupakan golongan yang angkuh kerana mereka tidak mahu memikirkan tentang sebab dan musabab berlakunya sesuatu di dunia ini, tentang diri manusia itu sendiri bahawa bagaimanakah ia dijadikan. Akan tetapi bilamana berlaku kesusahan dan musibah, mereka meraba-raba mencari Tuhan dan setelah hilang segala kesulitan, mereka kembali kepada kekufuran (Agus Hakim 1973: 11-12). Negara ini dengan jelas menolak fahaman atheisme untuk dipercayai dan amalkan di negara ini oleh mana-mana pihak. Pendirian rapuh seperti ini yang berasaskan kepada nilai-nilai materialisme dan hedonisme hanya membawa kehancuran dan kemusnahan kepada kehidupan manusia dan negara.

Rukunegara merupakan dokumen ideologi negara yang digubal untuk menanamkan semangat kesetiaan bagi menyatupadukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Ia merupakan sebahagian daripada langkah-langkah yang digubal ke arah pengukuhan perpaduan dan pemupukan integrasi nasional selain daripada aspek perundangan dan dasar.(Lee Lam Thye 2005: 573)

Perpaduan negara menurut Leee Lam Thye (2005: 572) adalah keadaan di mana rakyat daripada pelbagai kumpulan etnik, agama, dan wilayah, hidup dengan aman dan damai sebagai bangsa yang bersatu serta memberikan komitmen yang penuh terhadap identiti kebangsaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara. Perpaduan negara dalam konteks Malaysia tidak bermakna tidak akan wujud ketegangan atau konflik dalam masyarakat. Namun apa yang ingin diusahakan ialah agar sebarang bentuk pertembungan atau konflik yang muncul tidak lagi berpunca daripada agama, kaum, dan wilayah.

Penggubalan Rukunegara pada tahun 1970 membawa seribu satu aspirasi rakyat dari pelbagai latar belakang bagi mencapai hasrat agar Malaysia menjadi sebuah negara yang utuh dari segi perpaduan kaumnya, yang mengekalkan cara hidup yang demokratik, masyarakat yang adil, dan bersikap liberal terhadap budaya tradisi masyarakat pelbagai agama dan kaum.

Secara keseluruhannya, perasaan kebersamaan dan kejiranan serta identiti dan nilai bersama menjadi objektif utama yang ingin dicapai melalui Rukunegara ini. Rukunegara menjadi menjadi peraturan hidup atau norma hidup yang sangat penting kepada setiap anggota masyarakat di negara ini. Kepatuhan kepada norma sosial adalah sangat penting, jika diamalkan oleh setiap rakyat di negara ini, sudah pasti ia akan dapat mewujudkan perpaduan di kalangan kelompok berbagai kaum di negara ini.

Ikrar-ikrar dalam rukunegara menjadi paksi kekuatan ke arah menyatupadukan masyarakat pelbagai agama dan bangsa dan membina negara yang aman dan makmur. Prinsip kepercayaan kepada Tuhan menjadi tunjang pertama menggerakkan semangat toleransi dan hormat menghormati yang ingin dijanakan melalui Rukunegara ini yang sememangnya selari dengan tuntutan utama Islam supaya menyeru ke arah kalimah yang satu (common word) iaitu mentawhidkan Allah s.w.t.

Usaha-usaha ke arah seruan dakwah ini amat perlu dipertingkatkan lagi dengan lebih bersungguh-sungguh oleh umat Islam kerana inilah seruan pertama risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan para Rasul yang lain. Bahkan juga seruan ini bukan sahaja hanya kepada orang Islam, bahkan wajar ditujukan juga kepada semua penganut-penganut agama yang lain yang sudah semestinya sama-sama memperakui keesaan Allah Taala atas sifat agama itu sendiri yang membawa kepada Tuhan yang Satu dan menjadi paksi menyatukan semua manusia.

Penerapan prinsip ini perlu dipergiat dengan lebih efisyen kerana agama menjadi teras utama pembinaan akhlak sahsiah peribadi dan benteng pertahanan terhadap serangan terhadap jiwa dan emosi manusia. Prinsip percaya kepada Tuhan juga dapat membina kesejahteraan dan keharmonian di kalangan masyarakat, membentuk keadilan sosial, toleransi, sikap terbuka, tolak ansur, dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Program-program berbentuk dakwah samada secara langsung ke arah menganut Islam, ataupun sebagai langkah pertama ke arah mentawhidkan Allah adalah amat perlu diperbanyak dengan cara dan kaedah yang bijaksana dan terkawal tanpa menimbulkan keadaan prejudis, prasangka, keresahan, mengganggu sensitiviti agama dan kaum, ataupun menimbulkan perkara-perkara yang mewujudkan ketegangan dan konflik. Bahkan sebaliknya aktiviti-aktiviti seumpama forum, debat, diskusi, penulisan, wacana, program televisyen dan radio, dan sebagainya ini menjadikan masyarakat lebih saling faham-memahami, bertoleransi dan hidup dalam keadaan harmoni dan penuh kerukunan.

Selain usaha dakwah, pendekatan unik ke arah usaha ini telahpun dinyatakan di dalam suatu hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud:

Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi jirannya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri. (Bukhari dan Muslim)

Jiran dalam konteks yang umum bukan sekadar mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah kita, bahkan juga meliputi sautau kawasan, daerah, negeri, negara, mahupun seluruh dunia. Dan ia juga tidak membataskan kepada pegangan agama, bangsa, dan sebagainya. Jika yang tinggal bersebelahan dengan rumah seorang Muslim itu adalah bukan Muslim sekalipun, ia tetap seorang jiran yang harus dikasihi dan dihormati sebagaimana jiran Muslim yang lain. Konsep hidup penuh kerukunan seperti ini amat dituntut di dalam Islam yang diasaskan kepada konsep saling menghormati dan mengasihi antara satu sama lain.

Dengan ini jelaslah bahawa penerimaan rakyat seluruhnya terhadap prinsip ’Kepercayaan kepada Tuhan’ dan prinsip-prinsip Rukunegara yang lain di samping mengamalkannya dalam kehidupan seharian masing-masing, sudah pasti dapat membantu melahirkan perpaduan sosial dalam mana-mana anggota masyarakat di negara ini tanpa mengira keturunan dan kaum. Di samping itu, penghayatan dan pengamalan kepada prinsip-prinsip Rukunegara di kalangan rakyat dapat menjamin kewujudan sistem kerajaan yang bersifat demokratik dan stabil.

Tiada ulasan:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP